Rabies: Suntikan vaksin percuma sasar 10,000 anjing di Sibu bermula 19 Sept

Pemilik mempunyai tanggungjawab menjaga anjing mereka dan memastikan ia sentiasa berada dalam kawasan rumah dan tidak dibiarkan berkeliaran di jalanan. (Gambar Bernama)

SIBU: Jawatankuasa Kawalan Penyakit Rabies Bahagian Sibu akan mengadakan suntikan vaksin anti rabies percuma fasa 3 mulai 19 Sept hingga 2 Nov ini bagi memastikan sasaran 10,000 ekor anjing diberi suntikan vaksin tercapai.

Jawatankuasa yang ditubuhkan awal tahun ini dan dipengerusikan Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam merangkap Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapaee itu telah menganjurkan pelbagai program untuk membendung penularan penyakit rabies ke bahagian ini.

Residen Bahagian Sibu Charles Siaw berkata pemilik anjing di daerah Kanowit, Bandar Baru Sibu Jaya, Bandar Sibu dan Selangau perlu memanfaat sepenuhnya peluang tersebut bagi membantu kerajaan membendung penularan wabak rabies di Sarawak.

“Setakat ini sebanyak 7,481 daripada 10,000 ekor anjing yang disasarkan berjaya diberi suntikan vaksin.

“Orang ramai yang memelihara anjing mempunyai tanggungjawab menjaga anjing mereka sebaik mungkin dan memastikannya sentiasa berada dalam kawasan pekarangan rumah dan tidak dibiarkan berkeliaran di jalanan,” katanya semasa berucap pada pelancaran Kempen Kesedaran No To Rabies di Dataran Sibu Fasa 2 di sini malam tadi.

Sepanjang tempoh kempen itu sesi taklimat penerangan dan pameran penyakit rabies juga akan diadakan serta pengedaran pelekat kereta `No To Rabies’ mengandungi talian hotline Majlis Perbandaran Sibu, Majlis Daerah Luar Bandar Sibu dan Majlis Daerah Kanowit, kepada orang ramai.

Terdahulu, Ketua Seksyen Kesihatan Awam, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Dr Cheong Yaw Liang berkata setakat ini Bahagian Sibu masih bebas daripada penularan penyakit rabies.

Katanya kementerian dan Jawatankuasa Kawalan Penyakit Rabies Bahagian Sibu bertungkus lumus pemilik anjing di daerah Kanowit, Bandar Baru Sibu Jaya, Bandar Sibu dan Daerah Selangau perlu memanfaat sepenuhnya peluang tersebut bagi membantu kerajaan membendung penularan wabak rabies di Sarawak.