Seragam perbarisan kehormat Muktamar PAS ‘memeranjatkan’, kata veteran tentera

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang kelihatan memeriksa perbarisan kehormat anggota Jabatan Amal yang lengkap berpakaian seragam. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Insiden Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memeriksa perbarisan kehormat berpakaian seragam yang menyerupai seragam No 1 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) lengkap dengan pingat memeranjatkan dan menimbulkan rasa tidak percaya dalam kalangan bekas tentera.

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), sebuah pertubuhan veteran tentera, dalam kenyataannya hari ini mendesak Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan segera “sebelum keadaan pergi lebih jauh dan tidak dapat dikawal”.

Presidennya, Brig Jen (B) Datuk Mohamad Arshad Raji berkata, kejadian itu berlaku semalam semasa majlis perasmian Muktamar Tahunan PAS di Kuala Terengganu.

Arshad berkata, mengikut Seksyen 140 Kanun Acara Kesiksaan orang awam yang bukan anggota tentera adalah dilarang memakai apa-apa pakaian atau apa-apa tanda yang menyerupai pakaian yang digunakan oleh angkatan tentera.

Beliau berkata seragam No 1 biasanya dipakai dalam majlis rasmi atau peristiwa penting.

Perbarisan kehormat dengan seragam istiadat penuh dikhaskan sebagai tanpa hormat kepada Raja-raja, perdana menteri, timbalan perdana menteri dan jeneral dan merupakan satu perkara serius yang tidak boleh dilakukan sewenang-wenang oleh mana-mana pertubuhan, kata beliau.

“ATM mesti memelihara kehormatan dan tradisi tentera dan menghalang pihak yang tidak layak menyalahgunakan seragam tentera,” katanya.

“Dalam kes ahli PAS memakai seragam yang menyerupai seragam No 1 tentera, saya berharap panglima angkatan tentera atau paling tidak ketua kakitangan membuat kenyataan mengenainya,” kata beliau, dan menambah maruah, integriti dan tradsis tentera dan pasukan polis hendaklah dipertahankan.

Dalam satu acara sempena perasmian Muktamar PAS kali ke-64 di stadium tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu semalam, Hadi dilihat memeriksa perbarisan kehormat anggota Jabatan Amal yang lengkap berpakaian seragam.