SPRM reman 2 AJK sektretariat pemilihan PKR

Suspek dipercayai meminta suapan daripada seorang lelaki untuk mengelak namanya digugurkan daripada senarai calon bagi jawatan ketua Cabang PKR. (Gambar Bernama)

ALOR SETAR: Mahkamah Majistret di sini hari ini mengeluarkan perintah reman 6 hari terhadap 2 anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi membantu siasatan kes berkaitan rasuah sebanyak RM20,000.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun di sini hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Kedua-dua lelaki berumur 46 dan 48 tahun itu ditahan SPRM secara berasingan masing-masing di Plaza Tol PLUS Pendang pada 3.25 petang dan di sebuah restoran di sini pada 12.20 tengah hari semalam.

Menurut sumber SPRM, 2 suspek yang juga Sekretariat Jawatankuasa Pemilihan parti itu dipercayai meminta suapan tersebut daripada seorang lelaki untuk mengelak nama lelaki berkenaan digugurkan daripada senarai nama calon bagi jawatan ketua Cabang PKR pada pemilihan kali ini.

Sumber SPRM berkata kedua-dua suspek dipercayai masing-masing hanya mengambil RM5,000 terlebih dahulu daripada lelaki berkenaan semalam.

“Semasa tahanan dibuat kelmarin (semalam), kita rampas RM10,000 daripada 2 suspek ini iaitu masing-masing RM5,000,” katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Alor Setar hari ini.