Susah Harakah berkembang jika ahli PAS tidak baca, kata Mohd Amar

Mohd Amar berkata, parti itu sedang menyusun semula Harakah melibatkan pengurusan dan kakitangannya. (Gambar Facebook)

KUALA NERUS: Ahli dan penyokong PAS diseru supaya menjadikan Harakah sebagai rujukan rasmi berbanding media lain.

Seruan itu dibuat Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bagi memastikan akhbar lidah rasmi itu kekal releven pada saat semua media menghadapi masalah pengurusan.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengambil langkah menyusun semula pengurusan Harakah untuk bersaing dengan media lain.

“Perkara penting adalah sokongan ahli PAS. Kalau kita sendiri tak baca memang susahlah untuk Harakah berkembang dan meningkatkan pencapaian.

“Harakah sepatutnya menjadi rujukan utama sebelum melihat dan membaca media lain,” katanya ketika ucapan penggulungan Muktamar PAS ke-64 di Stadium Tertutup Gong Badak di sini.

Katanya parti itu juga sedang menyusun semula Harakah melibatkan pengurusan dan kakitangannya.

“Harakah sedang melalui proses penyusunan semula untuk memastikan ia menjadi rujukan, berdaya saing dan mampu berhadapan dengan media lain. Pengurusannya kini diletakkan di bawah syarikat Galeri Media,” katanya sambil memaklumkan isu pengurusan akhbar PAS itu akan diselesaikan dalam tempoh satu atau dua bulan lagi.

Ahli PAS hampiri 1 juta

Dalam perkembangan lain, jumlah keanggotaan PAS kini melebihi angka 800,000 selepas parti itu melakukan proses “pemutihan” keanggotaannya, kata Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan.

Katanya, berdasarkan rekod semasa keanggotaan parti itu sekarang ialah seramai 818,029 orang dengan 7,140 cawangan di seluruh negara.

Beliau berkata, daripada 222 kawasan Parlimen di seluruh negara, PAS belum mempunyai organisasi rasmi parti di 26 kawasan.