Derma Saudi: Najib pertahan semua tandatangan, kepala surat sama

Najib Razak berkata, semua pemindahan dana hasil sumbangan kerabat diraja Saudi itu tidak pernah dipertikaikan Bank Negara Malaysia.

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak mempertahankan diri daripada laporan mendakwa surat berkaitan sumbangan kerabat diraja Arab Saudi tidak ditandatangani Putera Abdulalziz Al-Saud, dengan berkata semua tandatangan serta kepala surat adalah sama.

“Mereka yang membaca artikel ini tanpa memikir dengan lebih mendalam akan membuat kesimpulan bahawa saya cuba memperdaya rakyat.

“Adalah penting untuk kita ambil perhatian bahawa kesemua surat yang diterima oleh bank dan saya itu menggunakan kepala surat Putera Abdulaziz Al-Saud dan kesemua surat berkenaan menggunakan tandatangan yang sama,” tulisnya di Facebook malam ini.

Beliau merujuk artikel sebuah akhbar memetik seorang penyiasat mendakwa surat didedahkan Najib minggu lalu mengenai sumbangan diberikan kerabat diraja Saudi, sebenarnya tidak ditandatangani Putera Abdulaziz Al-Saud, sebaliknya pembantunya, Mohammad Abdullah Al Koman menyediakan surat dan menandatangani semua surat itu bagi pihak putera.

Pada 10 September lalu, Najib mendedahkan beberapa surat menunjukkan beliau menerima AS$100 juta disumbangkan Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud dari Arab Saudi pada 2011.

Katanya, pendedahan itu bertujuan membersihkan namanya daripada pelbagai tuduhan dan fitnah yang mendakwanya terbabit dalam pengubahan wang haram.

Tiga hari kemudian, Najib menunjukkan bukti beliau memulangkan RM2.6 bilion, 4 bulan selepas menerima sumbangan itu daripada Raja Arab Saudi sebulan sebelum pilihan raya umum ke-13.

Katanya, Putera Abdulaziz Al-Saud menulis surat pada 1 Mac 2013 memberitahunya akan menyumbang AS$800 juta secara berperingkat pada tahun itu, tetapi jumlah yang diterimanya tidak sebanyak itu.

Hari ini, Najib berkata, beliau tidak dapat mengesahkan kenyataan penyiasat mengenai ketulenan tandatangani itu.

“Apa yang saya tahu dalam dunia perniagaan, ada juga berlaku kakitangan menandatangani surat bagi pihak majikan mereka.

“Bagaimanapun, apa yang nyata ialah artikel-artikel hari ini tidak menyatakan mengenai dokumen rasmi bank yang menunjukkan pemindahan-pemindahan dana yang mengiringinya dibuat melalui akaun bank Kementerian Kewangan Arab Saudi dan dari bank akaun milik Putera Faisal bin Turkey bin Al Saud di Arab Saudi.”

Bagaimanapun, katanya, semua pemindahan dana itu tidak pernah dipertikaikan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Artikel itu turut memilih untuk tidak menyatakan fakta bahawa saya telah memulangkan RM2.6 bilion kepada Tanore (Finance) beberapa bulan selepas menerimanya sebagaimana ditunjukkan oleh dokumen bank yang saya kongsikan minggu lalu.”

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, pemulangan sumbangan RM2.6 bilion itu turut diakui Wall Street Journal (WSJ) melalui buku bertajuk “The Billion Dollar Whale”.

“Ini membuktikan saya tidak mencuri atau menyimpan berbilion ringgit untuk kegunaan peribadi dan saya bukanlah penyangak, penyamun atau pencuri sebagaimana dituduh pelbagai pihak.

“Walaupun dokumen bank pemberian balik dan buku WSJ mengesahkan ini, pemimpin Pakatan Harapan dan pihak siasatan masih tetap tidak mahu menyebut fakta ini.”

Beliau berkata, surat pertama dengan kepala surat dan tandatangan sama bertarikh 1 Februari 2011 diterimanya selepas Raja Abdullah berjanji memberi dana dan diperkenalkan kepada Putera Abdulaziz Al-Saud dan Putera Faisal.

“Surat ini dihantar sebelum dana-dana daripada Putera Faisal dan Kementerian Kewangan Arab Saudi diterima.

“Kemudiannya pada Jun 2011, kedua-dua Putera Abdulaziz dan Putera Faisal hadir di majlis pertunangan anak perempuan saya di Seri Perdana, di mana saya turut mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana menguruskan sumbangan derma bagi pihak Raja Abdullah.”