Gigih belajar bahasa Melayu, demi jayakan teater ‘Tanah Akhirku’

Gambar Bernama

“Disini lahirnya sebuah cinta, Yang murni abadi sejati; Di sini tersemai cita-cita, bercambah menjadi warisan” – adalah sebahagian seni kata lagu bertajuk Warisan dendangan Datuk Sudirman Arshad (Allahyarham).

Setiap kali lagu itu berkumandang, jiwa Lim Mei Fen, 31, pasti tersentuh sehingga menitiskan air mata berikutan rasa cintanya terhadap tanah air.

Apa tidaknya, meneliti dan mendalami makna di sebalik setiap perkataan beberapa lagu Melayu, antaranya ‘Warisan’, merupakan sebahagian daripada ‘kerja rumah’ bagi mengukuhkan tahap penguasaan bahasa Malaysia beliau hampir setiap hari sejak 4 tahun lalu.

“Dahulu, saya tidak fasih berbahasa Malaysia. Ketika diberi tanggungjawab menggalas watak Puteri Hang Li Po dalam “Takhta 3 Ratu’ kira-kira 4 tahun lalu, saya hanya membaca skrip tanpa memahami maksudnya.

“Saya gigih untuk mempelajari Bahasa Malaysia dengan bertutur dan mendengar lagu-lagu Melayu, apabila memahami maksud di sebalik lagu ‘Warisan’, saya sangat terharu sehingga tidak dapat menahan air mata.

“Lagu inilah yang membuatkan saya begitu bersyukur dilahirkan sebagai seorang anak Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Pelajar tahun akhir Fakulti Seni Teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) yang berasal dari Pulau Tikus, Pulau Pinang itu mengakui komuniti kampus yang berbilang kaum membuatkan beliau faham erti sebenar perpaduan.

“Tiga tahun lalu, saya diterima masuk ke Aswara dan saya satu-satunya pelajar berbangsa Cina. Meskipun berlainan budaya dan agama, kami saling menghormati malah rakan-rakan sekelas banyak membantu kerana mereka tahu saya lemah dalam bahasa Malaysia.

“Pengalaman sebagai pelajar Aswara dalam suasana perpaduan dan harmoni diabadikan dalam naskhah teater, maka terhasillah ‘Tanah Akhirku’ yang akhirnya diterima masuk ke Istana Budaya untuk dipentaskan sempena bulan kemerdekaan,” katanya.

Bawa mesej perpaduan

‘Tanah Akhirku’ mengisahkan kehidupan gadis berasal dari Tanah Besar China, Ying Feng selepas melarikan diri daripada perang saudara ke Tanah Melayu bersama ibu dan adiknya.

Selepas menetap beberapa lama, Ying Fen semakin jatuh cinta dengan Tanah Melayu yang dianggap seperti tanah air sendiri, selain kehadiran seorang jejaka Melayu yang berjaya menawan hatinya.

Bertindak selaku penerbit, Lim juga membawa watak Ying Feng dalam naskhah sulungnya itu, yang dipentaskan pada 28 Ogos hingga 2 September di Istana Budaya baru-baru ini.

Turut membintangi teater itu adalah Aeril Zafrel, Erma Fatima, Izzue Islam, Angeline Tan, Nina Nadira dan pelajar- pelajar Aswara.

Lim berkata naskhah yang pernah dipentaskan sempena Penilaian Akhir Tahun 2018 (PeTa 2018) pada Februari lalu itu sedikit berbeza apabila penambahan watak dan pengubahsuaian jalan cerita dibuat bagi menampilkan mesej lebih menarik.

“Beberapa watak seperti ‘Melati’ yang dibawa oleh Nina, Angeline Tan sebagai ibu saya dan watak antagonis ‘Tengku Khalil’ oleh Izzue Islam mengukuhkan naskhah itu untuk membawa mesej perpaduan ketika zaman penjajahan British,” katanya.

Selain diberi penghormatan dipentaskan di Istana Budaya, Lim melahirkan rasa terharu apabila usahanya mendapat perhatian isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang bersetuju menjadi penaung kepada naskhah sulungnya itu.

Mengimbau kembali usaha untuk mendapatkan persetujuan penaung, beliau tidak pernah berputus asa ketika cuba menyerahkan sendiri surat kepada Dr Siti Hasmah di Perdana Foundation, walaupun dihalang.

“Saya tulis surat untuk Tun Siti, pakai cantik-cantik dan terus menuju ke Perdana Foundation tapi tak dapat masuk, saya cakap baik-baik dan merayu kepada pengawal keselamatan meminta jasa baik mereka untuk menyerahkan surat itu kepada Tun Siti.

“Tak disangka pula sehari selepas itu saya mendapat kata putus Tun Siti bersetuju menjadi penaung teater Tanah Akhirku,” katanya.

Beliau terharu kerana Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hadir bersama Dr Siti Hasmah untuk menyaksikan teater itu.

Persediaan pementasan teater

Lim berkata antara cabaran terbesar sepanjang persediaan pementasan teater bersama pasukan produksinya adalah kekangan kewangan.

“Jujur saya katakan pementasan ini merupakan cabaran buat kami apabila sebanyak RM500,000 terpaksa diperuntukkan namun kami menghadapi masalah tidak cukup dana dan sukar mendapat tajaan sejak Februari.

“Menerusi Malam Gala teater kami pada 28 Ogos lalu, masalah itu berjaya diatasi dan kami bersyukur kerana mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah yang hadir menyaksikan persembahan kami,” ujarnya.

Pementasan arahan Naque Ariffin dan Aloeng Silalahi itu juga menghadapi cabaran jadual masa yang padat, ‘prop’ yang terhad serta masalah teknikal kerana pentas Panggung Sari, Istana Budaya sedang melalui proses pengubahsuaian.

“Kami terpaksa menyiapkan sendiri ‘prop’ selain terpaksa menjahit kostum pementasan dengan dibantu pelajar-pelajar Aswara dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang turut menjayakan pementasan ini sebagai watak-watak sampingan,” katanya.

Lulusan Sarjana Teater dari Institut Kesenian Jakarta, Indonesia itu berkata meskipun mempunyai pengalaman dalam bidang pengarahan teater, drama dan pelakonan, namun naskhah itu merupakan sesuatu yang baharu.

“Pertama kali mengarah teater pelbagai bahasa, memang agak mencabar namun dapat diatasi dengan bantuan team produksi dan pelakon-pelakon.

“Ketika pengarahan, saya sangat tegas dan ini bagi memastikan pementasan yang terbaik kepada penonton,” katanya.

Penghayatan watak

Berbeza dengan watak ‘Yue Feng’ dalam pementasan naskhah PeTa 2018 pada Februari lalu, watak Ying Feng’ memerlukan penghayatan yang tinggi, kata Lim.

“Hampir semua babak memerlukan kemunculan saya dengan skrip yang panjang. Ketika membawa watak ‘Ying Feng’, saya perlu menjelmakan diri kembali ke tahun 1900 sebaik mungkin,” katanya.

Lim berbesar hati kerana berpeluang mempelajari seni nyanyian dan tarian opera Cina bersama-sama dengan anak-anak murid penyanyi opera terkemuka Malaysia, Choy Yim Hiong.

“Pada pementasan di Aswara, saya sudah mempelajari dengan beliau, namun hanya betul-betul dapat mempersembahkannya kepada penonton di Istana Budaya menerusi naskhah ini,” katanya.

Lim yang mengakui sukar untuk tidur malam sehinggakan jatuh sakit menjelang pementasan itu berkata, “Selain mencari tajaan, publisiti, memastikan perjalanan teater, saya perlu menghafal skrip dan menghayati watak dalam bahasa Melayu.

“Walaupun beberapa kali jatuh sakit, saya tidak berputus asa. Semua itu dilakukan atas kerelaan hati dan rasa cintakan tanah air.

“Naskhah ‘Tanah Akhirku’ adalah segala-galanya bagi saya. Jadi saya pastikan pementasan berjalan dengan lancar, malah saya harap watak Yin Feng akan memberi impak pada penonton,” katanya.