Mangkhut: Wilayah selatan China bersedia hadapi hujan lebat

Taufan Mangkhut berada di Hengxian di wilayah Guangxi pada jam 6 pagi dan semakin melemah menjadi “ribut tropika” dijangka tiba di wilayah Guizhou, Chongqing dan Yunnan hari ini. (Gambar Reuters)

SHANGHAI: Wilayah selatan China bersiap berhadapan hujan lebat hari ini sewaktu taufan raksasa Mangkhut bergerak ke arah barat yang menyaksikan perkhidmatan pengangkutan utama digantung dan berjuta-juta penduduk dipindahkan, lapor biro cuaca negara itu.

Taufan tropika tersebut tiba ke daratan tenggara negara itu di wilayah Guangdong semalam selepas membadai Filipina mengakibatkan angka korban dijangka melebihi 50 orang.

Pentadbir Meteorologi China berkata awal hari ini, hujan daripada taufan itu, yang dinamakan “raja segala ribut” dijangka mencecah 100-160 millimeter (4-6 inci).

Ia menyebut Mangkhut berada di Hengxian di wilayah Guangxi pada jam 6 pagi dan semakin melemah menjadi “ribut tropika”. Ribut berkenaan dijangka tiba di wilayah Guizhou, Chongqing dan Yunnan hari ini.

Pentadbir meteorologi berkata, Mangkhut merupakan salah satu daripada 10 taufan terkuat di tenggara China sejak 1949 dengan kelajuan angin kira-kira 162km/jam (100bsj).

Dua orang dilaporkan terbunuh di Guangdong, wilayah China paling ramai penduduk. Lebih 2.45 juta orang dipindahkan, lapor media kerajaan.

Kementerian pengurusan kecemasan China berkata Ahad lepas ia telah menghantar 24,000 pegawai ke bahagian terdedah bahaya di Guangdong, Hainan, Guangxi, Guizhou dan Yunnan.

Pihak bekuasa di wilayah terbabit diarah menanggalkan struktur yang terdedah kepada kesan hujan lebat, memperkuat kemudahan pelabuhan dan menangguhkan perhimpunan terbuka, kata pentadbir meteorologi negara itu.