Kes pengedar ganja ‘ubat’ patut disemak semula, kata Dr M

KUALA LUMPUR: Kes seorang pengedar dadah yang dijatuhkan hukuman gantung sampai mati kerana memiliki, memproses dan mengedar ganja yang dikatakan untuk tujuan perubatan patut disemak semula, kata perdana menteri.

“Kerajaan sepatutnya menyemak semula,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Industri Pembekalan Elektrik (CEPSI) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Dr Mahathir merujuk kepada kes Muhammad Lukman, yang tular di laman sosial baru-baru ini, yang dijatuhkan hukuman gantung sampai mati kerana memiliki, memproses dan mengedar ganja yang diolah kepada bentuk cecair.

Sebelum ini Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar berkata akan menulis rayuan kepada Peguam Negara Tommy Thomas untuk mendapatkan pengampunan buat Muhammad.

Media melaporkan Muhammad memberikan “rawatan” itu kepada tidak kurang daripada 800 pesakit, dan peguamnya menampilkan beberapa saksi yang pernah mendapatkan “ubat” itu dalam perbicaraannya.

Muhammad, 29, bapa kepada seorang anak, ditangkap pada Disember 2015 kerana memiliki 3.1 liter minyak kanabis, 279g kanabis mampat dan 1.4kg bahan mengandungi tetrahydrocannabinol (THC).

Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati pada 30 Ogos lepas. Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 memperuntukkan hukuman mati terhadap individu yang ditangkap memiliki 200g ganja.

Malaysia kekal bebas nuklear

Sementara itu, Dr Mahathir mengisytiharkan Malaysia akan mengekalkan dasar bebas nuklear termasuk bagi tujuan menjana kuasa elektrik.

Perdana menteri berkata Malaysia akan terus menggunakan arang batu, gas dan kuasa hidro untuk menjana tenaga bagi keperluan negara kerana nuklear membawa risiko pencemaran radiasi.

“Kemajuan sains masih belum dapat menyelesaikan masalah pelupusan bahan radiasi itu sejak ia mula dijadikan sumber tenaga.

“Apa yang kita dapat pelajari daripada pembuangan sisa radiasi ini ialah ia adalah sukar untuk dimusnahkan,“ katanya dalam ucapan kepada peserta persidangan hari ini.

Sebelum ini, pentadbiran lepas mengumumkan rancangan membangunkan loji nuklear ditangguhkan dari 2021 dan 2022 ke selepas 2030 susulan bencana nuklear Fukushima, Jepun pada 2011.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Nancy Shukri berkata penangguhan itu perlu kerana kerajaan mengambil kira sentimen semasa dan ada keperluan untuk terus mengkaji teknologi itu, walaupun Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) memuktamadkan negara sudah bersedia sepenuhnya.

Sektor nuklear negara dikawal selia oleh Perbadanan Tenaga Nuklear Malaysia yang terletak bawah Jabatan Perdana Menteri.