Pemuda: Gerakan perlu pemimpin muda teraju parti

Andy Yong Kim Seng percaya percaya bekas presidennya Mah Siew Keong juga mempunyai pandangan yang sama sepertinya. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Gerakan berkata parti itu perlu menampilkan calon muka baharu yang lebih muda bagi menerajui kepimpinan parti itu selepas ini.

Timbalan Ketua Pemuda Gerakan, Andy Yong Kim Seng berkata perkara itu perlu dilakukan bagi mentransformasikan Gerakan ke arah yang lebih baik selepas membuat keputusan keluar daripada Barisan Nasional (BN) Jun lalu.

“Saya mahu pemimpin yang lebih muda memimpin parti, yang mencapai umur persaraan tidak perlu bertanding lagi.

“Khususnya mereka yang bukan berbangsa Cina iaitu Melayu dan India untuk memegang apa-apa jawatan tertinggi dalam Gerakan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian susulan peletakan jawatan Datuk Seri Mah Siew Keong sebagai presiden parti Ahad lalu.

Mah berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan kepada prestasi buruk parti itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen berbanding 1 kerusi pada PRU13.

Pada PRU14, Gerakan kalah semua 11 kerusi Parlimen dan 31 kerusi DUN yang ditandinginya.

Gerakan kini merupakan sebuah parti bebas selepas mengumumkan keluar daripada BN pada 23 Jun lalu.

Mah yang juga bekas ahli parlimen Teluk Intan berkata Gerakan kini mula menyusun semula parti dengan memberi mandat kepada akar umbi untuk memilih pucuk pimpinan yang dirasakan layak bagi pusat, 150 bahagian dan 1,080 cawangan di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Andy berkata beliau percaya bekas presidennya itu juga mempunyai pandangan yang sama sepertinya.

Beliau berkata, antara faktor lain Mah meletakkan jawatan adalah bagi membuka ruang kepada mereka yang lebih muda supaya dapat memimpin parti selepas ini.

“Apa yang dikongsikan oleh Datuk Seri, salah satu sebab beliau tidak mahu menjadi presiden kerana satunya, kekalahan dalam PRU14.

“Dan ke-2 adalah beliau merasa sudah tiba masa untuk betul-betul mentransformasikan parti.

“Beliau lebih rela beri peluang dan membuka jalan kepada yang lebih muda untuk menerajui parti.”