Penduduk bantah projek di Wangsa Maju, desak DBKL dedah laporan impak

Abu Bakar Ariffin (tengah) bersama Nik Nazmi dan wakil persatuan penduduk pangsapuri Desa Putra menunjukkan keratan akhbar tentang bantahan penduduk.

KUALA LUMPUR: Seramai 20 orang wakil persatuan penduduk pangsapuri Desa Putra di Wangsa Maju membantah pembinaan pangsapuri berservis bersebelahan kediaman mereka, dan mendesak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mendedahkan laporan penilaian kesan berkaitan.

Pengerusi Abu Bakar Ariffin berkata penduduk membantah saiz pembangunan di kawasan itu kerana ia sudah padat dengan pangsapuri.

“Desa Putra ada 26 tingkat, sebelahnya sudah terbangun satu blok bangunan, Wangsa 9, dengan 49 tingkat. Ditambah satu lagi blok pangsapuri, Hamilton, dengan 42 tingkat di depan bangunan kami,” katanya.

“Sekarang nak dibina pula satu lagi bangunan di sebelah kami dengan ketinggian 46 tingkat?” katanya pada sidang media di pejabat PKR Setiawangsa hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad.

Abu Bakar berkata pembangunan tersebut menambah kesulitan penduduk terutama soal keselamatan dan kesihatan penduduk, pencemaran dan alam sekitar.

“Jerebu dan denggi membelenggu penduduk selepas siasatan mendapati ianya berpunca daripada kawasan pembangunan yang sedang dibina,” katanya.

Abu Bakar berkata penduduk menghantar 2 surat bantahan kepada DBKL pada 27 Ogos lalu namun sehingga hari ini tidak maklum balas daripada pihak berkuasa tempatan itu.

Beliau berkata pembinaan pangsapuri itu bermula sejak lebih kurang sebulan lalu tetapi penduduk tidak diberikan apa-apa makluman dan tiada perbincangan dibuat.

“Kami langsung tak diberitahu apa jenis projek yang ingin dibangunkan. Alih-alih ianya sudah diluluskan. DBKL perlu menjustifikasikan projek ini,” katanya.

Sementara itu, Nik Nazmi menggesa DBKL menyerahkan laporan penilaian kesan pembangunan (DIA) dan penilaian kesan lalu lintas (TIA) kepada penduduk.

“Sekiranya pembangunan bertentangan dengan Draf Rancangan Bandar Kuala Lumpur 2020, ia mestilah tidak diluluskan,” kata wakil rakyat PKR itu.

Beliau mengulangi gesaan kepada Menteri Wilayah Khalid Samad supaya mengumumkan rancangan itu secepat mungkin.

“Ia jelas dan mudah. Jika benar terbukti bertentangan, maka penduduk harus diberi hak untuk membantah,” katanya.