PM cadang dim sum, tosei, nasi lemak difrancaiskan

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa 3 makanan daripada kaum majoriti diperluaskan melalui sistem francais.

Dr Mahathir berkata kaum Melayu, India dan Cina mempunyai makanan tradisiona yang unik dan istimewa tetapi tidak diperluaskan ke peringkat antarabangsa.

“Kita belum dapat lihat francais dim sum, tosei dan nasi lemak. Kalau dijual dan diusahakan, mesti ianya nampak di peringkat dunia,” katanya dalam ucapan di majlis Anugerah Francais Malaysia di Hotel Marriott, Putrajaya hari ini.

Hadir sama isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohammad Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Saifuddin Nasution dan Pengerusi Persatuan Francais Malaysia Datuk Radzali Hassan.

Dr Mahathir berharap semua pengusaha francais boleh memastikan menu utama rakyat di bawa ke peringkat dunia.

“Ketiga-tiga menu itu mempunyai potensi tetapi tidak diperluaskan. Sebabnya kita tidak memahami dan mengusai sistem francais dengan baik.

“Saya harap, para pengusaha francais yang hadir boleh fikirkan tentang perkara ini dan bantu negara realisasikan hasrat ini,” katanya.