Najib ditangkap, akan ditahan semalaman
Bekas perdana menteri berdepan pendakwaan baharu esok dipercayai berkaitan RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun bank miliknya.
Jurucakap SPRM ketika dihubungi FMT berkata bekas pemimpin itu akan dibawa ke Bukit Aman dimana dia akan disoal polis dan badan anti-rasuah itu.
Menurut SPRM, Najib akan dituduh di Mahkamah Sesyen di Jalan Duta, Kuala Lumpur esok.
Pada Julai, Najib dituduh dengan 3 tuduhan pecah amanah dan 1 tuduhan salah guna kuasa berkaitan RM42 juta yang disalurkan ke akaun banknya.
Bulan lepas, dia dituduh dengan 3 tuduhan pengubahan wang berkaitan transaksi yang sama bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).
Mahkamah Tinggi menetapkan perbicaraan pada 12-28 Februari dan 4-29 Mac tahun depan.
Bekas perdana menteri itu baru-baru ini bercakap tentang dakwaan sekitar RM2.6 bilion itu. Najib di Facebook berkata dia dapat mendedahkan bukti berkaitan dana itu atas permintaan Raja Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz yang mahu ia dirahsiakan.
“Yang dimaksudkan RM2.6 bilion sebenarnya merujuk kepada dana AS$681 juta yang saya terima di dalam akaun peribadi saya pada akhir bulan Mac 2013 iaitu kira-kira sebulan sebelum PRU13 yang berlangsung pada 5 Mei 2013.
“Seperti pernah diulas beberapa kali sebelum ini, saya diamanahkan mengikut perlembagaan parti untuk mencari sumbangan dan mengurus wang parti secara peribadi dan secara khusus. Seperti kebanyakan orang lain, saya ada beberapa akaun peribadi di bank-bank berlainan dan akaun peribadi yang menerima dana ini bukanlah akaun untuk kegunaan peribadi setiap hari tetapi bagi kegunaan aktiviti politik,” katanya.
Najib berkata dana itu, berjumlah AS$681 juta dalam 2 transaksi, iaitu pada 21 Mac dan 25 Mac 2013, kira-kira sebulan sebelum PRU13 bagaimanapun dikembalikan apabila peristiwa 916 tidak berlaku.
Peristiwa 916 merujuk kepada peristiwa yang berlaku pada 16 September 2008 apabila gabungan pembangkang cuba mendapatkan wakil rakyat Barisan Nasional melompat parti selepas PRU12.
“Maka selepas Ambank menggunakan masa seketika untuk menukarkan ringgit dalam akaun saya kembali kepada dolar Amerika Syarikat, semua dana ini dikembalikan kepada sumber yang diterima iaitu syarikat Tanore.
“Oleh kerana kadar pertukaran wang berbeza dengan penyusutan sebanyak 10% dari bulan Mac sehingga Ogos, hanya US$620 dikembalikan berbanding dengan US$681 yang diterima.”
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Beliau menambah dia tidak menyimpan RM2.6 bilion itu dan tidak masuk akal wang itu disimpan dalam akaun atas nama sendiri jika mahu mencurinya.