NGO gesa kerajaan mansuh undang-undang benar kahwin bawah umur

WAO berpendapat perkahwinan bawah umur memberi kesan buruk kepada kanak-kanak. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menggesa kerajaan memansuhkan undang-undang yang membenarkan kanak-kanak bawah umur berkahwin meskipun mendapat kebenaran Mahkamah Syariah atau pihak berkuasa negeri masing-masing.

Pegawai Komunikasi WAO, Tan Heang Lee berkata perkahwinan kanak-kanak bawah umur tidak sepatutnya dibenarkan sama sekali kerana ia memberi banyak kesan buruk kepada masa depan mereka.

“Kami mempersoal keputusan Mahkamah Syariah untuk membenarkan perkahwinan tersebut.

“Adakah kebajikan dan hak kanak-kanak itu dipertimbang semasa kebenaran itu diberikan?,” katanya kepada FMT apabila negara sekali lagi digemparkan dengan perkahwinan kanak-kanak berumur 15 tahun dengan lelaki berusia 3 dekad lebih tua daripadanya.

Semalam dilaporkan akad nikah itu berlaku di Tumpat Julai lalu, selepas Mahkamah Syariah memberi kebenaran.

Ibu bapa gadis itu, yang mempunyai 12 anak lain, berkata mereka merestui perkahwinan anaknya dengan lelaki berusia 44 tahun itu kerana mahu anak mereka memperoleh kehidupan yang lebih baik.

Di bawah Enakmen Keluarga Islam yang dikuatkuasakan di semua negeri, usia minimum bagi lelaki untuk berkahwin adalah 18 tahun manakala bagi perempuan adalah 16 tahun.

Sekiranya mereka di bawah umur, perkahwinan hanya dibenarkan jika ada kebenaran Mahkamah Syariah dan persetujuan ibu bapa mereka.

Mahkamah Syariah diberi kuasa untuk membenar atau menghalang sesuatu permohonan perkahwinan bawah umur setelah mempertimbang keperluan perkahwinan itu.

Manakala bagi orang bukan Islam, mengikut Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164), usia minimum perkahwinan adalah 18 tahun.

Sekiranya pasangan itu berusia antara 16 hingga 18 tahun, mereka perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada Ketua Menteri dan mahkamah.

Mengulas lanjut, Tan berkata wajar bagi kerajaan Pusat mengikut langkah kerajaan Selangor yang memutuskan usia minimum perkahwinan kepada 18 tahun.

Katanya, perkara itu perlu dibuat supaya tiada berlaku lagi kanak-kanak belum “matang” menjadi mangsa kepada perkahwinan.

“Kes ini menunjukkan kepentingan meningkatkan usia perkahwinan kepada 18 tahun dan memansuhkan pengecualian yang membenarkan kanak-kanak bawah umur berkahwin dengan kebenaran mahkamah Syariah.

“Kerajaan perlu bertindak segera untuk menjamin hak dan kebajikan kanak-kanak, agar kes sebegini tidak terus berlaku,” katanya.

Dewan Negeri Selangor pada awal bulan ini sebulat suara meluluskan pindaan menaikkan had umur minimum perkahwinan orang Islam daripada 16 kepada 18 tahun.

Pindaan itu menjadikan Selangor negeri pertama yang menetapkan had umur perkahwinan orang Islam dinaikkan susulan kontroversi pernikahan seorang kanak-kanak warganegara Thailand yang berusia 11 tahun dengan seorang lelaki berusia 41 tahun.