PAS tidak boleh dimaafkan, kata Dr M

PETALING JAYA: Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad kembali menyerang PAS hari ini, mengatakan parti Islam itu tidak boleh dimaafkan kerana kewujudannya memecah-belahkan orang Melayu.

Beliau berkata PAS memecah belah orang Melayu dengan amat mendalam sehinggakan hari ini “masih ada sembahyang berjemaah berasingan di masjid yang sama”.

“Inilah perbuatan PAS yang tidak boleh dimaaf. Sebelum adanya PAS orang Melayu tidak berpecah kerana agama. Hanya apabila PAS ditubuh barulah orang Melayu berpecah dan terpisah kepada 2 puak yang bermusuh ketat. Perpecahan ini jugalah yang melemahkan orang Melayu,” katanya di blog hari ini.

Serangan terbaharu ini beberapa hari selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata Dr Mahathir sekarang lebih baik berbanding penggalnya sebagai perdana menteri ke-4, mengatakan dia sudah berubah dan lebih matang.

Dr Mahathir hari ini menjelaskan mengapa dia menentang PAS dan menyalahkan parti Islam itu atas perpecahan yang melemahkan orang Melayu.

“Demikianlah kelemahan orang Melayu sehingga PAS juga terpaksa meminta pertolongan orang-orang kafir. Tetapi apabila PAS bekerjasama dengan parti kafir, PAS dakwa mereka tidak jadi kafir,” katanya.

Dr Mahathir merujuk kepada petikan ucapan yang dikaitkan dengan Hadi pada 1981, yang didakwa mengatakan PAS menentang BN dan Umno kerana ia mengekalkan perlembagaan penjajah, undang-undang kafir dan peraturan jahiliah.

“Tiada ada ulama di Malaysia yang berani mendakwa bahawa pengkafiran orang bukan PAS adalah salah dan tidak menepati ajaran Islam. Pegawai-pegawai pemerintah yang bertanggungjawab berkenaan agama Islam juga membisu seribu bahasa,” kata perdana menteri.

Dr Mahathir berkata orang Melayu sebelum kewujudan PAS tidak bermusuhan dan berpecah teruk walaupun mengikut ajaran berlainan, seperti “kaum muda”, “kaum tua” dan “kumpulan Haji Ahmad Matahari”.

“Sesungguhnya orang Melayu Islam bersaudara dan mengamalkan ajaran Islam yang sama,” katanya.

“Perpecahan yang mendalam dalam kalangan orang Melayu berterusan. Dia akan berterusan selagi PAS menyalahtafsir dan menyalahguna ajaran Islam.

“Inilah sebabnya yang saya tentang PAS.”

Dr Mahathir menulis kritikan ini ditengah-tengah hubungan semakin erat antara bekas partinya, Umno, dan PAS selepas kekalahan teruk pada pilihan raya umum 9 Mei lepas.

Semalam, Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mencadangkan penubuhan gabungan baharu bergelar Pakatan Malaysia yang terdiri daripada Umno, PAS, MCA, MIC, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Bersatu Sabah dan PKR.