Najib kena 25 pertuduhan berkaitan dana 1MDB

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dikenakan 25 pertuduhan di Mahkamah Sesyen hari ini berhubung dakwaan pemindahan ratusan juta dolar ke akaun bank miliknya daripada 1MDB.

Dia didakwa dengan 21 pertuduhan pengubahan wang kerana memindahkan dana haram ke akaun bank miliknya dan kemudian menggunakannya.

Dia dikatakan menerima dan menggunakan wang haram semasa tempoh jawatan perdana menteri antara 2011 dan 2014.

Dia juga dituduh menyalahgunakan kuasa dalam 4 lagi pertuduhan bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dia dituduh menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah RM60.63 juta, RM90.9 juta, RM2.08 bilion dan RM49.93 juta antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Dalam 4 pertuduhan itu, dia dikatakan menerima wang itu sebelum pilihan raya umum ke-13 pada 2013 dan kemudian menggunakannya.

Semua pertuduhan itu mengambil masa 35 minit untuk dibacakan kepadanya.

Najib minta dibicarakan untuk semua 25 pertuduhan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi, yang bersetuju dengan permintaan pendakwaraya yang mahu semua pertuduhan dibicarakan bersekali.

Sementara itu peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata pihaknya akan memohon kes itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Timbalan pendakwaraya Akram Garib minta ikat jamin ditetapkan pada RM5 juta jika mahkamah tidak bersetuju untuk menafikan ikat jamin.

Beliau berkata pendakwaraya membantah ikat jamin kerana kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) tidak boleh diikat jamin mengikut Kanun Tatacara Jenayah.

Pertuduhan terbaru berkaitan 1MDB itu selepas Najib minggu lepas mendedahkan butiran tentang bagaimana dia menerima sumbangan AS$100 juta daripada Raja Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud pada 2011.

Beliau membuat pendedahan itu untuk membersihkan namanya daripada pelbagai dakwaan dan kenyaaan fitnah oleh mereka yang menuduhnya mengubah wang.

Pada Julai, Najib dituduh dengan 3 pertuduhan pecah amanah berhubung pemindahan RM42 juta ke akaun bank miliknya daripada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

Beliau dikatakan telah memindahkan RM27 juta, RM5 juta, dan RM10 juta daripada SRC International ke akaun AmBank miliknya antara Disember 2014 hingga Mac 2015.

Beliau juga dituduh menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri dengan memberi jaminan kerajaan ke atas pinjaman RM4 bilion kepada SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan.

Tiga lagi pertuduhan bawah undang-undang pengubahan wang difailkan terhadapnya bulan lepas berkaitan pemindahan RM42 juta itu.

Dia dituduh menerima wang secara haram dalam transye RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta ke akaun AmBank miliknya.