PM malu rakyat tak bayar hutang PTPTN

Dr Mahathir Mohamad bergambar kenangan dengan warga UTM.

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini meluahkan perasaan malu apabila rakyat Malaysia gagal membayar hutang pengajian selepas mendapat bantuan daripada kerajaan.

Perdana menteri itu berkata demikian ketika membuat teguran kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang tidak bertanggungjawab dan tiada perasaan malu apabila tidak membayar hutang pengajian itu sehingga jumlahnya mencecah RM36 bilion.

“Kerajaan membelanjakan banyak wang dalam memberi pinjaman kepada pelajar dalam dan luar negara untuk memastikan kehidupan mereka lebih baik, malangnya mereka tidak mahu bayar balik pinjaman, hutang RM36 bilion kepada PTPTN.

“Saya malu, mereka dapat beribu-ribu tetapi tidak membayar kerana mereka tidak mempunyai amanah.

“Apabila ia berlaku, orang melihat ia hanya melibatkan kaum tertentu sahaja.

“Sebagai contoh saya meminjamkan wang kepada rakan dan saudara, dan mereka tidak bayar balik, mereka tidak peduli ia akan menjejaskan komuniti kita dan ia menyebabkan orang tidak lagi percaya kepada kita,” katanya ketika berucap sempena pelancaran hari Malaysia dan Jepun Internasional Institute Of Tecknology (MJIIT) dan residensi UTM kampus Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, Dr Mahathir berkata jumlah tunggakan hutang PTPTN bernilai RM39 bilion, iaitu hampir sama dengan kerugian yang dialami 1MDB.

Katanya, jumlah besar yang tidak dibayar semula kepada kerajaan itu merupakan “harga” untuk menyediakan pendidikan terbaik kepada anak muda negara, sekali gus memberikan peluang pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik.

Pakatan Harapan (PH) dalam manifestonya berjanji untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada peminjam bergaji di bawah RM4,000 sebulan dan mengeluarkan nama peminjam daripada senarai hitam Jabatan Imigresen Malaysia.

Namun pada 31 Mei lalu, Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata, pihak kementerian memerlukan sedikit masa lagi untuk mencari jalan terbaik termasuk mekanisme pelaksanaan bagi menunaikan janji berkenaan.

Terbaharu Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan menggalakkan semua peminjam yang sepatutnya membuat bayaran balik dan masih mempunyai baki hutang PTPTN supaya mengemas kini maklumat pendapatan peminjam dalam usaha melaksanakan janji itu.

Contohi rakyat Jepun

Dr Mahathir menambah, rakyat Malaysia perlu mencontohi orang Jepun yang mempunyai perasaan malu apabila gagal melakukan sesuatu perkara yang menjadi salah satu prinsip negara itu mencapai kemajuan.

Katanya, sikap orang Malaysia jauh berbeza dengan bangsa Jepun apabila mereka tidak mempunyai peradaan malu apabila melakukan kesalahan dan gagal.

“Hari ini mereka (rakyat Malaysia) tidak mempunyai rasa malu, mereka masuk penjara pun masih tersenyum, mereka masih lagi tersenyum apabila mereka dikatakan seorang pencuri.”

Beliau berkata orang Jepun akan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan mereka tidak malu.

“Budaya dan perasaan malu yang ada pada orang Jepun menyebabkan mereka berjaya,” katanya.

Dr Mahathir menerusi sesi soal jawab meminta ibu bapa mendidik anak-anak mereka supaya mempunyai satu perasaan malu dari usia muda.

“Beritahu anak-anak salah mencuri, kita kena ajar mendisiplinkan mereka, walaupun mereka rasa boleh mencuri, tetapi apabila perasaan malu itu ada, mereka tidak melakukannya.

“Sesetengah orang mungkin tidak diajar, jadi mereka mencuri tidak berasa malu,” katanya sambil memaklumkan nilai itu juga boleh diajar di sekolah.