PRK Port Dickson pada 13 Okt depan

Timbalan Pengerusi SPR Othman Mahmood .

PUTRAJAYA: Pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Port Dickson bakal diadakan pada 13 Okt depan dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 29 Sept, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

Timbalan Pengerusi SPR Tan Sri Othman Mahmood berkata, tempoh berkempen adalah selama 14 hari.

Beliau berkata, PRK ini akan menelan kos RM3.6 juta, lebih tinggi daripada PRK sebelum ini kerana terdapat 5 kerusi Dewan Undangan Negeri dalam Parlimen Port Dickson, iaitu Chuah Lukut, Bagan Pinang, Linggi dan Sri Tanjung.

Terdapat 75,770 pengundi berdaftar di sini yang terdiri daripada 68,486 pengundi biasa, 7,268 pengundi awal dan 16 pengundi seberang laut.

Menurut SPR lagi, seramai 12,009 pengundi berumur 21-29 tahun, 18,512 (30-39 tahun), 15,568 (40-49 tahun), 13,881 (50-59 tahun), 9,680 (60-69 tahun), 4,406 (70-79 tahun) dan 308 pengundi berumur lebih 90 tahun.

Kerusi Port Dickson kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah bagi memberi laluan kepada presiden PKR dipilih Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kembali ke Parlimen.

Danyal, bekas pegawai tentera laut, memenangi kerusi tersebut dalam pilihan raya umum 9 Mei setelah mendapat 36,255 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V S Morgan yang memperolehi 18,515 undi dan calon PAS Mahfuz Roslan (6,594).

SPR menjangkakan peratus keluar mengundi sebanyak 70%.