Umno: Najib belum bersalah, jangan terus hukum

ajuddin Abdul Rahman (tengah) bersama penyokong di Mahkamah Jalan Duta.

KUALA LUMPUR: Pemimpin Umno menggesa orang ramai tidak terus menghukum bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang menghadapi pertuduhan di mahkamah.

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, Najib masih tidak bersalah selagi beliau tidak dijatuhi hukuman bersalah oleh mahkamah.

“Saya menyeru agar orang ramai tidak menjatuhkan hukum selagi mahkamah tidak membuat keputusan.

“Orang mudah bicara di luar mahkamah itu tidak betul. Eloklah kita beri pihak berkuasa untuk menyiasat,” katanya ketika di perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta ketika hadir bersolidariti kepada pendakwaan Najib hari ini.

Beliau turut melahirkan rasa simpati terhadap Najib.

“Dalam keadaan beliau menghadapi dugaan ini. Bagi sokongan dekat beliau agar mendapat kekuatan apabila melihat kawan-kawan yang datang,” katanya.

Anina Saadudin.

Turut hadir memberi sokongan ialah Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Pengerusi Badan Pemantau Kerajaan Baharu, Datuk Lokman Noor Adam; Anina Saadudin serta penyokong.

Sementara itu, Anina ketika ditemui berkata beliau cukup yakin Najib tidak bersalah.

“Terlalu banyak dakwaan dibuat sebab kerajaan tidak ada bukti Datuk Seri Najib bersalah,” katanya.