Filem pendekar Wiro Sableng bawa pengalaman Hollywood

Wiro Sableng Pendekar Kapak Maut Naga Geni 212… dengar sahaja nama tajuk filem yang akan dipertonton dalam sesi prebiu, sudah ada sedikit keraguan.

Adakah ia akan menjadi filem yang menepati citarasa atau sekadar filem ‘fantasi’ tanpa kisah yang berat dan terlalu banyak efek ‘terbang’ yang jelas tidak menjadi.

Ternyata sangkaan itu sedikit meleset pada babak pertama apabila ia memperkenalkan kekejaman watak antagonis utama filem iaitu Mahesa Birawa ( dilakoni Yayan Ruhiyan) berlatarbelakangkan set-up perkampungan Melayu Indonesia.

Bermula dari adegan cemas itu, pembawaan cerita dan lakonan para pelakon filem bergenre fantasi aksi cukup menghiburkan walaupun terasa agak bosan dalam adegan tertentu.

Rupanya filem yang disutradarai Angga Dwimas Sasongko ini merupakan adaptasi daripada novel Wiro Sableng karya Bastian Tito dan mempunyai pengaruh yang mendalam dalam kalangan rakyat Indonesia khususnya pada era 1980an dan 1990an.

Sebagai penonton Malaysia yang tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai karakter mahupun pendedahan mengenai kisah ‘pendekar’ tersebut, bagaimanapun tidak mengecewakan.

Ini kerana anda masih boleh mengikuti jalan cerita dan memahami tujuan kewujudan setiap watak menerusi penyampaian karakter yang agak teliti dan jelas.

Menariknya mengenai filem yang dibawakan oleh Lifelike Pictures dengan kerjasama Fox International Production, yang dilakoni oleh Vino Bastian sebagai watak utama, Wiro Sableng, ialah suntikan komedi selain adegan persengketaan yang menggunakan efek visual secara sempurna dan memuaskan.

Namun, tidak dinafikan sesetengah unsur komedi tidak menjadi dalam semua babak, ada kalanya terasa tawar atau sekadar humor yang gagal.

Kembali kepada jalan ceritanya, filem ini mengisahkan Wiro Sableng yang diajar seni silat termasuk ilmu mistik dihantar oleh gurunya Sinto Gendeng (Ruth Marini) untuk mencari Mahesa Birawa yang pernah mengkhianati ajaran tersebut suatu masa dahulu.

Sepanjang misi pencarian, Wiro Sableng bertemu dengan beberapa watak yang menjadi sokongan penting bagi kisah itu seperti Anggini (Sherina Munaf) dan Dewa Tuak (Andy Arif), Bidadari Angin Timur (Marsha Timothy), Bujang Gila Tapak Sakti (Fariz Alfarizi).

Babak pertemuan watak protagonis dan antagonis agak mencabar dengan aksi laga yang penuh mendebarkan turut membawa kenangan Wiro Sableng ke zaman kanak-kanak yang menjadi satu lagi titik klimaks bagi filem tersebut.

Separuh kedua filem tersebut dibawa secara serius oleh watak Wiro Sableng apabila misinya menjadi lebih fokus dan jelas.

Apatah lagi apabila ia melibatkan konflik peperangan, peralihan kuasa dan tipu helah yang diangkat dalam satu lagi trek melibatkan watak Raja Kamandaka oleh Dwi Sasono.

Filem ini diterbitkan oleh Sheila Timothy bersama Tumpal Tampubolon dan Seno Gumira Ajidarma yang selaku penulis skrip.

Apapun, agak baharu untuk melihat pembawaan sebuah filem dari negara jiran yang berlatar sejarah budaya dan bangsa yang hampir sama dengan Malaysia menterjemah sebuah filem pendekar dengan kesan visual yang hampir seiring dengan Hollywood.

Filem Wiro Sableng Pendekar Kapak Maut Naga Geni 212 yang berdurasi 123 minit akan mula dimainkan di pawagam bermula 27 September ini kemungkinan besar akan menjanjikan satu pengalaman yang memuaskan.