Warga emas hilang duit arwah suami terpedaya ‘Love Scam’

Wanita warga emas itu berhubung dengan lelaki ‘Love Scam’ melalui telefon setiap malam. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Kata-kata manis, janji palsu dan panggilan manja menjadi senjata utama sindiket “Love Scam” menipu seorang wanita warga emas yang kesunyian dan memerlukan teman hidup.

Sal (bukan nama sebenar), 60, merupakan salah seorang mangsa “Love Scam” yang mengenali lelaki bernama Justin melalui Facebook.

Lelaki yang mengaku dirinya duda itu mendakwa berasal dari Eropah, berusia dalam lingkungan 40 hingga 60 tahun.

Menurut Sal, selepas suaminya meninggal dunia, Facebook dijadikan tempat untuk menghilangkan kesunyian bagi mencari teman.

Katanya, Justin mengambil berat tentangnya setiap hari dan melayan kerenahnya dengan berborak di telefon.

“Siapa tidak tertarik dengan lelaki yang ambil berat tentang diri kita selepas kehilangan suami tercinta selama 4 tahun.

“Perkenalan pertama saya dengan Justin pada 6 Disember 2017, satu detik yang tidak akan dilupakan sehingga hari ini kerana itu adalah satu mimpi buruk untuk saya,” katanya kepada FMT.

Lelaki yang didakwa bernama Justin.

Dalam tempoh 3 bulan perkenalan, Justin berjanji untuk melawatnya di Malaysia. Lelaki itu juga berjanji akan berikan hadiah yang mahal sebagai bukti sayang kepada wanita ini.

Sementara anak saudara Sal, Afrina (bukan nama sebenar) membantunya sedar bahawa Justin adalah “Love Scam”.

“Saya lihat makcik saya sering bergayut dan berbalas mesej pada waktu malam, boleh kata setiap hari sebelum tidur. Kita anggap normal walaupun makcik sudah berusia masih melayari internet dan berbalas mesej.

“Tidak pernah pula terlintas makcik adalah mangsa kepada ‘Love Scam’,” katanya.

Dalam tempoh perkenalan Sal dan Justin, katanya, lelaki mahu memberikannya hadiah.

“Makcik saya tunjuk gambar hadiah yang dia dapat dari Justin. Dia tidak sabar menunggu hadiah iaitu beg tangan, gelang emas dan wang berjumlah 10,000 pound sterling diletakkan dalam beg tangan yang akan diterima keesokannya.

“Makcik beritahu barang akan sampai esok dan penghantaran cuma ambil masa 1 hari.

“Esoknya, dalam tengah hari makcik dapat panggilan dari syarikat penghantaran di Johor yang tidak dikenali memberitahu barang dari Justin sudah sampai.

“Jika nak ambil barang ini, dia perlu membayar RM3,000 sebagai wang penghantaran ke dalam akuan ini bagi barang ini dilepaskan.

“Mak cik saya ibarat dipukau 100% memberi kepercayaan kepada Justin.

“Saya terpaksa beritahu anak tunggalnya dan semua ahli keluarga bahawa makcik sudah menjadi mangsa ‘Love Scam’,” katanya.

Manakala anak tunggalnya Sal, Melissa (bukan nama sebenar) memberitahu ibunya menghabiskan semua duit simpanan arwah ayahnya berjumlah RM10,000.

“Saya dapat tahu ibu adalah mangsa ‘Love Scam’ dari sepupu yang membongkarkan dan membaca semua mesejnya dengan Justin.

“Nasib sepupu ada pada waktu itu yang menghalang ibu untuk berikan wang kepada syarikat penghantaran dengan jumlah yang tinggi.

Katanya, ibu tidak sedar apa yang dilakukan selama ini kerana panggilan telefon yang dibuat “Love Scam” ibarat dipukau kerana dia sanggup masukkan duit ke akuan orang lain dalam keadaan yang tidak sedar.