‘Ada tak lagu SST?,’ tanya Najib selepas harga naik

Mac lepas Guan Eng dikritik kerana menyanyi dan menari mengikut sebuah lagu yang mempermainkan GST selepas merasmikan program kelas tuisyen percuma di flet Mutiara Idaman di Jelutong.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak menyindir, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berhubung kenaikan harga barang semasa.

Dalam satu kenyataan, Najib memberi respons terhadap pengakuan Lim mengenai kenaikan harga barangan selepas pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), walaupun pegawai khas beliau, Tony Pua pernah bertegas harga akan turun dengan cukai itu.

“Guan Eng kini berkata SST bukan sebab utama kenaikan harga barang, tetapi banyak faktor seperti barang diimport, penyusutan nilai ringgit, musim perayaan, kegiatan penyeludupan, kemarau di negara pengeluar, selain peniaga yang mahu mengaut untung berlebihan.”

Sebelum ini, kata Najib, Guan Eng menyalahkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang kini dimansuhkan sebagai punca kenaikan harga.

“Malah beliau turut menyanyikan lagu mengenai GST bersama kanak-kanak.

“Mungkin ada juga lagu SST selepas ini?,” tanya Najib.

Pada Mac lepas, Guan Eng dikritik kerana menyanyi dan menari mengikut sebuah lagu yang mempermainkan GST selepas merasmikan program kelas tuisyen percuma anjuran kerajaan Pulau Pinang di flet Mutiara Idaman 2 di Jelutong.

Beliau yang merupakan ketua menteri Pulau Pinang disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung kejadian itu.

Sistem GST 6% yang diperkenalkan oleh pentadbiran Najib pada 2015 kemudiannya dimansuhkan selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum 9 Mei.