China buka kedutaan di Republik Dominica selepas putus hubungan dengan Taiwan

Diplomat kanan China, Wang Yi berkata Republik Dominica merupakan rakan kongsi perdagangan terbesar di Caribbean, yang menjadi asas kepada hubungan diplomatik antara 2 negara. (Gambar Reuters)

SANTO DOMINGO: Duta paling kanan China merasmikan kedutaan baru negara itu di Republik Dominica semalam selepas ia memutuskan hubungan dengan Taiwan dalam satu perkembangan yang merisaukan Amerika Syarikat.

Taiwan, yang berpemerintahan sendiri tetapi dituntut oleh China, kini mempunyai hubungan rasmi dengan hanya 17 negara, yang kebanyakannya kecil dan kurang maju di Amerika Tengah dan kepulauan Pasifik, termasuk Belize dan Nauru.

“Kita sedang menyaksikan kemajuan bersejarah lanjutan perkembangan hubungan 20 tahun,” kata Wang Yi, diplomat paling kanan kerajaan China dalam satu ucapan yang disiarkan oleh media rasmi negara itu.

Seiring dengan keputusan Republik Dominica pada Mei lepas, Panama dan El Salvador juga bertukar arah mengiktiraf Beijing dalam 2 tahun terakhir.

AS memanggil pulang dutanya di negara terbabit dan memberi amaran bahawa China menawarkan insentif ekonomi dalam usahanya untuk mendominasi.

Ketegangan antara AS dan negara di rantau itu memuncak berikutan polisi keras presiden Donald Trump terhadap imigrasi.

Duta AS Robin Bernstein, dalam kenyataan awam pertama di Republik Dominica berkata, beliau ditanya tentang peranan China di rantau berkenaan dan berharap negara terbabit menimbangkan “matlamat jangka panjang” mereka.

Kedutaan AS di El Salvador dalam kenyataannya Khamis lepas menyuarakan kebimbangan bahawa negara di rantau itu mengukuhkan hubungan dengan “rakan kongsi asing” dan terlibat dalam urus niaga “kurang telus”.

Taiwan mendakwa China menawarkan pakej pelaburan dan pinjaman bernilai AS$3.1 bilion bagi mendorong negara itu memutuskan hubungan dengannya, walaupun China berkata ia tidak melibatkan apa-apa prasyarat ekonomi.

Wang berkata Republik Dominica merupakan rakan kongsi perdagangan China terbesar di Caribbean, yang menjadi asas kepada hubungan diplomatik antara 2 negara.

“Perkembangan ekonomi China dan peluasan pasarannya memberi kebaikan kepada Republik Dominica,” katanya.

Wang berkata sebagai negara berdaulat, Republik Dominica mempunyai hak mutlak untuk menentukan dasar luarnya sendiri dan negara lain tidak berhak campur tangan.

Wang dijangka melawat Guyana dan Surinam sebelum berucap di perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York.