Pemimpin wanita Sabah bidas mufti cadang turunkan had umur nikah

Mufti Bungsu @ Aziz Jaafar. (Gambar Facebook)

KOTA KINABALU: Satu persatuan wanita di Sabah mengkritik mufti kerana mencadangkan had umur minimum perkahwinan orang Islam diturunkan ke 14 tahun bagi perempuan dan 16 tahun bagi lelaki.

Kumpulan Daya Tindakan Wanita Sabah (Sawo) berkata cadangan Mufti Bungsu @ Aziz Jaafar itu berlawanan dengan rancangan Putrajaya menaikkan had umur minimum ke 18 tahun.

“Pertama sekali, pernah dia melihat atau tahu sebarang bukti menunjukkan perempuan berusia 14 tahun cukup matang dan boleh memikul tanggungjawab berat sebagai seorang isteri dan ibu?” kata Setiausaha Yasmin Ooi.

Bungsu dipetik sebagai berkata “beberapa kanak-kanak itu sudah boleh dianggap matang”.

Bungsu ketika dihubungi FMT mengesahkan pendiriannya dan enggan mengulas lanjut.

Ooi bagaimanapun mengingatkan sarjana Islam mempunyai pandangan berbeza dalam soal kematangan kanak-kanak.

Beliau juga berkata tiada mencukupi tatacara operasi standard (SOP) menentukan perkahwinan kanak-kanak untuk hakim syariah diperketatkan.

Beliau merujuk kes pada 2013 di mana seorang pengurus restoran berusia 40 tahun yang sudah berkahwin memohon untuk berkahwin dengan seorang berusia 12 tahun di Mahkamah Syariah Kota Kinabalu.

“Ketika memohon, dia didakwa sebagai perogol kanak-kanak itu. Kami mahu tonjolkan betapa cepatnya permohonan kahwin itu diluluskan.

“Dia didapati bersalah atas kesalahan rogol dan dijatuhkan hukuman. Setakat apa yang kami tahu, mangsa itu masih berkahwin dengan perogolnya, sebagai isteri kedua.

“Jelas sekali SOP itu jika dipatuhi tidak menjaga kepentingan kanak-kanak itu,” katanya.

Ooi berkata Bungsu patut merujuk kepada kajian tentang perkahwinan kanak-kanak termasuk daripada Unicef yang menyimpulkan amalan seperti itu menjejaskan mental dan fizikal kanak-kanak.

“Kanak-kanak perlu pendidikan dan kanak-kanak yang sudah berkahwin, terutama perempuan, terhalang. Ini mengurangkan keupayaannya untuk mencapai potensi sosioekonomi sepenuhnya, dan keluarganya akan terus terperangkap dalam kemiskinan.

“Pendidikan satu-satunya cara untuk seseorang keluar daripada kitaran kemiskinan. Mengekalkan amalan perkahwinan kanak-kanak membantukan pendikan kanak-kanak dan memerangkap generasi demi generasi dalam kitaran kemiskinan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno Sabah Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata kerajaan negeri sepatutnya menaikkan had umur minimum perkahwinan kepada sekurang-kurangnya 18 tahun bagi perempuan.

“Ibu bapa patut didik anak-anak mereka dan bukannya mengahwinkan mereka. Tambahan pula, sudah tiba masanya kita melayan wanita sebagai pasangan setaraf dan bukannya seperti ternakan,” katanya.