Fuziah: Kerajaan tegas tidak benarkan perkahwinan sejenis

Fuziah berkata, apabila kerajaan ‘menghulurkan tangan’ untuk memulihkan golongan LGBT, ia tidak bermakna mengiktiraf budaya dan perilaku tersebut.

LABUAN: Malaysia, sebagai sebuah negara Islam, mempunyai sistem perundangan sendiri yang tidak membenarkan perkahwinan sejenis dalam kalangan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.

“Saya amat bersetuju dengan kenyataan perdana menteri mengenai LGBT, memang menjadi pendirian kita yang tidak bersetuju dengan perilaku LGBT untuk diterima ke dalam komuniti Malaysia,” katanya pada majlis bersama Wanita PKR di HMD Villa, Kg Lubok Temiang di sini, malam tadi.

Beliau berkata walaupun kerajaan tidak membenarkan apa-apa amalan dan budaya perkahwinan sejenis, golongan ini tidak boleh didiskriminasi atau dipinggirkan.

“Kita tidak boleh membiarkan mereka hidup sendiri … kita perlu mengambil 2 pendekatan untuk menangani isu ini, satu daripadanyanya adalah pencegahan, dan satu lagi, apabila mereka terjebak di dalamnya, kita pulihkan mereka,” kata Fuziah.

Bagaimanapun, beliau menegaskan apabila kerajaan “menghulurkan tangan” untuk memulihkan mereka, itu bukanlah bermakna pengiktirafan terhadap budaya dan perilaku LGBT.

“Kami sedar tentang keprihatinan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung hak asasi manusia, tetapi kerajaan menjalankan tugasnya untuk menangani isu ini daripada bertapak dalam komuniti besar kita.

“Kami tidak akan membenarkan diskriminasi berlaku, dan pada masa yang sama, kami tidak mahu mereka meneruskan gaya hidup sedemikian.

“Rakyat tidak boleh menghukum atau mengasingkan mereka dan memperlakukan mereka seperti sampah sehingga ke tahap tiada siapa yang mahu mendekati mereka,” katanya.

Fuziah berkata menjauhkan diri daripada golongan ini tidak akan membantu mereka untuk dipulihkan daripada masalah personaliti dan gaya hidup mereka.

“Kita tahu kira-kira 83% daripada ‘mak nyah’ terlibat dalam perilaku seks, kebanyakannya di ‘lorong-lorong’, oleh itu, kita mesti bantu mereka untuk berubah,” katanya.

Fuziah berkata Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang menentang perkahwinan sejenis kerana negara Barat juga menentang amalan itu.