Kejiranan Muslim ‘Baan Krua’ Bangkok pertahan warisan industri sutera

Kejiranan yang kebanyakannya umat Islam dari Cham berkembang dengan kedatangan orang Melayu Muslim dari Saiburi dan Pattani.

BANGKOK: Terletak bersebelahan pencakar langit moden kota Bangkok, terdapat sekumpulan masyarakat yang tenang dan tersendiri dan telah wujud selama kira-kira 230 tahun sejak Thailand dikenali sebagai “kerajaan Siam” dalam kalangan rakyatnya dan masyarakat luar.

Kejiranan “Baan Krua”, yang terletak di tebing terusan bandar Saen Saeb wujud sejak tahun 1787 ketika Raja Rama I memberikan tanah itu kepada orang Islam Cham yang berjuang bersama tentara Siam ketika kerajaan itu berperang melawan bangsa Myanmar pada abad ke-18.

Orang Islam Cham yang berasal dari kawasan yang kini dikenali sebagai Kemboja dan Vietnam, membina komuniti mereka di Baan Krua sejak lebih dari 200 tahun dahulu mengikut cacatan sejarah, telah diiktiraf sebagai kawasan penempatan Islam tertua di Bangkok.

“Nenek moyang saya datang ke sini (Baan Krua) selepas Perang Sembilan Tentera (Perang Siam-Myanmar) berakhir pada zaman Raja Rama I dan kami telah tinggal di sini selama kira-kira 230 tahun,” kata Umar Abdul Qader atau nama siamnya Ruangsak Damrilert, 73, ketika ditemui Bernama di rumahnya di sini baru-baru ini.

Menurut bekas juruteknologi awam dengan sebuah agensi kerajaan, nenek moyang dari bapa dan ibunya masing-masing berasal dari Cham dan Saiburi (nama lama untuk Kedah).

Baan Krua adalah komuniti keturunan Cham Muslim yang datang ke sini terlebih dahulu, diikuti oleh orang Muslim dari Saiburi dan Pattani yang dibawa kemudian oleh raja,” katanya, dengan berkata Baan Krua dibuka oleh Muslim Cham lebih awal daripada versi rasmi pada 1787.

Kejiranan yang kebanyakannya umat Islam dari Cham (Champa) berkembang dengan kedatangan orang Melayu Muslim dari Saiburi dan Pattani, yang menurut Umar adalah tawanan perang daripada penaklukan Siam ke atas kesultanan Saiburi dan Pattani ketika pergolakan itu.

“Komuniti kami (Baan Krua) turut membantu dalam pembinaan terusan Saen Saeb,” katanya, yang baru saja selesai menulis sebuah buku tentang kejiranan itu.

Selain menjadi penempatan Islam tertua di Bangkok, Baan Krua juga memainkan peranan penting dalam kebangkitan semula industri sutera negara itu oleh Jim Thompson, seorang bekas pengintip Amerika yang kemudian menjadi “Raja Sutera” sebelum dia hilang di hutan Cameron Highlands.

Penduduk Islam Cham dikenali sebagai tukang tenun sutera mahir sejak zaman berzaman, sifat masyarakat yang dibawa bersama mereka apabila mereka ditempatkan semula di Baan Krua.

Ketika zaman dahulu hampir setiap rumah di Baan Krua mempunyai penenun sutera seperti yang diberitahu oleh generasi yang lebih tua. Itu merupakan kepakaran masyarakat,” kata Umar.

Menurut salah seorang daripada 2 peniaga sutera yang masih melestarikan kemahiran itu di Baan Krua, Khun Loong atau “Uncle Auud”, Thompson terserempak dengan komuniti yang mahir membuat sutera semasa salah satu perjalanan mendayungnya sepanjang terusan Saen Saeb pada tahun 1950-an.

Semenjak itu, peniaga Amerika tersebut dan masyarakat penenun sutera Baan Krua menjalin perkongsian yang berjaya melonjakkan industri sutera Thai ke pentas global di mana tekstil mahal itu dipakai oleh beberapa bintang terbesar di Hollywood termasuk dalam filem muzikal Rodgers dan Hammerstein, “The King and I”.

Sebelum dia hilang secara misteri sehingga ke hari ini, Thompson tinggal di tebing terusan Saen Saeb, bertentangan dengan Baan Krua, di mana rumahnya masih tegak berdiri hingga ke hari ini.

“Ketika itu saya masih remaja, apabila Jim Thompson berhenti sebentar menyaksikan ayah saya membasuh sutera daripada sisa pewarna di tebing terusan. Beliau kemudian memerhati dengan dekat sutera berkenaan sambil menilai kualitinya,” kata Uncle Aud.

Di tengah-tengah kedai rumahnya yang sederhana, Uncle Aud dengan bangga menggantung gambar berbingkai warga Amerika itu yang sedang memerhatikan tekstil berharga itu yang telah dibasuh, untuk mengingatkannya kepada zaman kecemerlangan Baan Krua ketika kejiranan itu berdiri megah di tengah-tengah industri sutera Thai.

Apabila warga Amerika itu hilang secara misterius di Cameron Highland pada Mac 1967, industri tenunan sutera di Baan Krua mulai suram dengan jumlah pesanan semakin merosot sehingga menyebabkan ramai penenun mahir hilang pekerjaan.

Kebanyakan mereka memilih untuk meninggalkan industri yang kian merosot dan berpindah dari kejiranan yang sempit itu, selain pemodenan Bangkok yang pantas juga mengancam kewujudan Baan Krua.

Laporan baru-baru ini mendakwa hanya 30% kawasan kejiranan itu yang dapat menelusuri susur galurnya dari masyarakat asal, manakala selebihnya yang kebanyakan pekerja kedai tertarik oleh sewa penginapan yang murah di Baan Krua yang terletak di pusat bandar.

Bagi Uncle Audd yang berumur 78 tahun, dia meramalkan perniagaan sutera yang dibina sejak zaman kanak-kanaknya di Baan Krua akan hilang apabila dia meninggal dunia, kerana tidak ada anaknya yang menunjukkan minat untuk meneruskan tradisi itu.

“Apabila saya meninggal dunia, kemahiran dan pengetahuan tentang acara membuat sutera akan pergi bersama saya,” katanya.