Kerusi melayang di pemilihan PKR

Kerusi dibaling ke arah pegawai parti pada sidang media PKR di Seberang Jaya.

GEORGE TOWN: Sidang media PKR di Seberang Jaya malam tadi mengenai pemilihan parti yang menjadi pertikaian ramai hiruk-pikuk apabila perbalahan dalam kalangan ahli melarat kepada aksi tumbuk menumbuk dan baling kerusi.

Sekumpulan ahli PKR tidak berpuas hati apabila pegawai parti mengumumkan keputusan pemilihan di Pulau Pinang kekal walaupun terdapat aduan mendakwa kepincangan dalam sistem e-undi.

Pada sidang media malam tadi, Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR Ismail Yusof berkata hanya keputusan pemilihan di Kedah diisytiharkan batal dan tidak sah, disambut dengan laungan “bantah” dalam kalangan hadirin.

Sejurus sidang media berakhir keadaan bertukar tegang apabila 2 kumpulan saling menaikkan suara.

Tidak lama kemudian mereka saling membalas tumbukan dan kerusi melayang. Sekurang-kurangnya seorang individu tercedera di kepala.

Timbalan Ketua Pemuda Dr Afif Bahardin kelihatan sukar mengawal keadaan di dewan serbaguna di Kelab Safira, Seberang Jaya itu.

Afif memberitahu pemberita Setiausaha Agung Datuk Saifuddin Nasution Ismail mesti menjawab aduan mengenai sistem e-undi itu.

“Kita akan bawa isu ini kepada setiausaha agung. Dia mesti jawab masalah yang berlaku dalam pemilihan ini. Saya mengajak semua ahli disini mendesak sistem e-undi dikaji semula.

“Sistem ini ternyata tidak cekap dan menyebabkan ramai orang meragui keputusannya,” kata Afif, yang sedang merebut jawatan ketua Pemuda.