Keputusan Hasanah saman SPRM 26 Oktober ini

Peguam, Shaharudin Ali.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 26 Oktober depan sebagai tarikh keputusan bagi saman kes bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana tidak membenarkan beliau berjumpa dan berunding dengan peguam ketika direman.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nordin Hassan menetapkan tarikh itu kerana memerlukan masa untuk meneliti hujah pihak peguambela dan pihak SPRM yang diwakili Pejabat Peguam Negara.

“Memandangkan hujahan baru pagi tadi saya terima, saya kena teliti dulu, sebelum saya putuskan secara terperinci.

“26 Oktober ini saya akan buat keputusan, hari ini kita tangguh keputusan dulu,” katanya.

4 September lalu Hasanah memfailkan saman pemula terhadap SPRM supaya Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Seksyen 28A(8) dan (9) Kanun Tatacara Jenayah adalah melampaui batasan undang-undang Perlembagaan Persekutuan.

Sepanjang tempoh reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah itu, Hasanah selaku pemohon berkata beliau tidak dibenarkan berunding dengan peguamnya kerana SPRM yang dinamakan sebagai responden pertama mengeluarkan satu surat pemberitahuan bahawa hak untuk berunding dengan peguam disekat di bawah Seksyen 28A(8) dan (9).

Katanya, berdasarkan undang-undang dalam memperuntukan, selagi rundingan dengan peguam belum sempat dibuat, soal jawab antara SPRM dengan pihak pemohon tidak boleh bermula.

Oleh itu pihak pemohon menyatakan, Seksyen 28A(8) dan (9) adalah peruntukan drastik yang bercanggah dengan Fasal 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan dan mencabul hak asasinya.

Sehubungan itu, Hasanah memohon mendapatkan perlindungan undang-undang dengan segera bagi memastikan dirinya mendapat hak untuk berunding dengan peguam di bawah Fasal 5(3) dan Fasal 8 Perlembagaan Persekutuan.

Hasanah juga memohon perisytiharan bahawa seksyen tersebut tidak sah, batal, tiada kesan dan tidak boleh dikuatkuasakan terhadapnya.

Peguam Datuk Shaharudin Ali yang mewakili Hasanah ketika berhujah di depan hakim berkata beliau tidak dibenarkan berjumpa anak guamnya sepanjang tempoh tahanan reman.

“Saya hanya dibenarkan berjumpa Hasanah selama 5 minit sebelum prosiding reman. Ia cuma bersembang.

“Jumpa tak sama dengan runding, walaupun pertemuan singkat, pegawai SPRM ada di situ.

“Kami minta mahkamah putuskan surat pemberitahuan dikeluarkan pihak SPRM tidak sah.

“Sepanjang tahanan reman, kami tidak dibenarkan berunding, sebaliknya hanya melakukan proses perjumpaan biasa,” kata Shaharudin.

Sementara itu Peguam Kanan Persekutuan, Norzilati Izhani [email protected] menafikan dakwaan Shaharudin sambil menjelaskan pihak SPRM membenarkan Hasanah bertemu peguamnya ketika dalam tahanan reman.

“Dia (Hasanah) diwakili (peguam) semasa prosiding reman di Mahkamah Majistret Putrajaya pada 29 Ogos itupun sebenarnya kita bagi jumpa.

“Peguam ada jumpa pemohon, tetapi mereka kata kita tidak bagi langsung, saya mohon permohonan ditolak dengan kos,” katanya.

Hasanah ditahan SPRM pada 28 Ogos dan ditahan reman selama 5 hari berhubung siasatan salah guna kuasa dan penyelewengan dana pilihan raya umum ke-14.