Najib elak isu dengan 17 soalan, kata Guan Eng

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini menolak kritikan Datuk Seri Najib Razak terhadap cara kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengendalikan ekonomi termasuk kurangan hasil daripada cukai barangan dan perkhidmatan (GST), dengan berkata bekas perdana menteri itu cuba mengelak perhatian daripada isu lebih mendesak.

“Jika beliau tidak faham atau berpura-pura tidak faham atau tidak mahu mengaku salah, bagaimanakah saya mahu menjawab soalan yang lain,” kata Guan Eng, merujuk kepada catatan Facebook Najib yang mengemukakan 17 soalan kepadanya.

Antara soalannya ialah sama ada kerajaan PH kehilangan RM30 bilion semasa tempoh pelepasan cukai 3 bulan berikutan pelaksanaan GST berkadar sifar.

Najib juga mempersoalkan dakwaan mengatakan wang kerajaan hanya berbaki RM450 juta pada akhir April lepas.

Berhubung isu ini Guan Eng berkata, “soalan saya mudah. Kenapakah dana yang ditinggalkan kepada kerajaan PH, yang pada asalnya berjumlah RM11.86 bilion pada akhir 2017 berkurang kepada RM450 juta ketika PH mengambil alih kerajaan?

“Soalan itupun beliau tidak boleh jawab. Dan apabila disoal, beliau mengelak dengan berkata, “Oh anda sepatutnya tahu”,” kata Guan Eng.

Beliau berkata, Najib tampak tidak memahami perbezaan antara “tabung wang disatukan” dengan “akaun hasil disatukan”.

Katanya kerajaan memerlukan sekurang-kurangnya RM8 bilion untuk bayaran pencen dan gaji setiap bulan.

“Bagaimanakah seorang menteri kewangan selama 10 tahun tidak tahu perbezaan itu,” katanya kepada pemberita sempena satu persidangan hartanah di sini hari ini.

“Jadi, saya menggesa Najib supaya berhenti berhelah…saya tanya hanya satu soalan, tetapi beliau kemukakan 17 soalan yang tidak masuk akal.

“Jika saya tanya sekali lagi, mungkin beliau akan kemukakan 34 lagi (soalan).”