Nazir lepas jawatan pengerusi CIMB pada Disember

Nazir Razak berkata, beliau akan melaksanakan misi seterusnya di peringkat Asean. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Datuk Seri Nazir Razak akan melepaskan jawatan pengerusi CIMB pada 31 Disember ini, selepas berkhidmat selama 29 tahun untuk kumpulan itu.

Adik bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak itu berkata, lembaga pengarah CIMB akan mengaktifkan rancangan penggantinya untuk memilih pengerusi seterusnya dan tarikh peralihan kuasa.

“Masa saya di CIMB akan berakhir. Sepanjang 29 tahun ini, saya mempunyai keistimewaan menerajui perjalanan CIMB yang luar biasa daripada mengembangkan francais kewangan korporat kepada memimpin bank pelaburan Malaysia dan bank universal Asean.

“Terima kasih CIMB,” demikian tulisnya di Instagram berserta sekeping gambarnya berlatar belakangkan pemandangan waktu senja.

Nazir berkata, susulan peralihan kuasa ketua pegawai eksekutif pada 2014 dan kejayaan inisiatif Sasaran 18 (T18), CIMB kini “kukuh dari segi kewangan, organisasi dan institusi”.

Katanya, misi CIMB beliau kini tercapai.

“Pengesahan kejayaan terakhir akan muncul dengan pengunduran saya dan kumpulan ini akan bertambah kukuh.

“Saya kini berusia 52 tahun. Sudah sampai masanya untuk saya melaksanakan misi seterusnya di peringkat Asean.”

Walaupun beliau tidak menjelaskan misi Aseannya, Bloomberg pada 2017 melaporkan Nazir membantu memulakan dana ekuiti swasta serantau berjumlah AS$1 bilion.

Menurut laporan itu, dana yang tiada kaitan dengan CIMB itu, akan berpangkalan di Singapura dan menyasarkan pelaburan dalam industri teknologi, logistik, kepenggunaan dan perkhidmatan kewangan di Asia Tenggara.