RapidKL nafi terbabit aktiviti pro-Syiah dekat stesen monorel

Pertubuhan ‘Who Is Hussain?’ mengagihkan donut percuma dan risalah di luar stesen monorel Bukit Bintang, Sabtu lalu. (Gambar Twitter Khalid Ismath)

PETALING JAYA: RapidKL Laluan Monorel menafikan sebarang pembabitan dalam sebuah program anjuran pertubuhan “Who Is Hussain?” dipercayai dikendalikan kumpulan pro-Syiah, dengan memberi donut percuma dan risalah di luar stesen Bukit Bintang, Sabtu lalu.

“RapidKL ingin menegaskan aktiviti berkenaan tidak berlaku di stesen monorel Bukit Bintang, tetapi telah dijalankan di luar stesen kami.

“Pihak kami tiada kaitan dengan aktiviti kumpulan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hussain atau Husayn Ali adalah cucu kepada Nabi Muhammad dan kisah mengenainya sering dikaitkan dengan pengikut Syiah.

Promosi di luar stesen monorel Bukit Bintang itu mengajak pengunjung melayari laman web mengenai gerakan di sebalik kempen itu.

Pihak berkuasa Islam di Malaysia menganggap Syiah, fahaman yang terkenal dalam kalangan umat Islam di beberapa negara Timur Tengah “menyimpang” dan khutbah Jumaat sering memberi amaran kepada umat Islam di Malaysia menolak ajaran itu.

Fatwa 1996 oleh Majlis Fatwa Kebangsaan melarang ajaran Syiah. Sejak itu, pihak berkuasa menyerbu perjumpaan pengikut Syiah dan menahan pengikutnya serta mendakwa mereka atas kesalahan jenayah di bawah undang-undang syariah.

Sementara itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menggesa pihak yang mempunyai maklumat berhubung penyebaran ajaran Syiah untuk menyalurkan maklumat itu kepada mereka untuk tindakan lanjut.

Pengarah Jawi, Moha Ajib Ismail berkata, pihaknya menyedari kebimbangan masyarakat berhubung program itu, tetapi menasihatkan semua pihak bertenang dan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk ditangani.

“Berhubung perkara ini, Jawi telah membuat pemantauan berterusan berdasarkan aduan awam yang diterima melalui media sosial semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Berdasarkan keputusan fatwa oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan di bawah Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505), adalah diperakukan ajaran Islam selain pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah bercanggah dengan hukum syarak.”