Beri peluang belia jadi pembuat keputusan, kata menteri

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, indeks belia negara yang dijangka siap menjelang Januari depan akan memberi gambaran menyeluruh mengenai kedudukan belia di negara ini, termasuk pembabitan mereka di peringkat pembuat keputusan.

CYBERJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa sektor kerajaan dan swasta memberi lebih banyak peluang kepada belia untuk dilantik ke peringkat pembuat keputusan.

Beliau mahu belia berusia 35 tahun ke bawah diberi peluang itu, termasuk sebagai ahli majlis tempatan, ketua kampung dan ahli lembaga pengarah syarikat.

Katanya, indeks belia negara yang disediakan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia dijangka siap menjelang Januari depan untuk memberi gambaran menyeluruh mengenai kedudukan belia di negara ini, termasuk pembabitan mereka di peringkat pembuat keputusan.

“Contohnya sebagai ketua kampung, mungkin hanya 5% anak muda. Jadi, kita hendak faham mengapa perkara ini berlaku,” katanya selepas Sesi Dialog Pembudayaan dan Pemerkasaan Keusahawanan Muda.

“Apabila kita sudah tahu kelompongan yang ada, barulah kita boleh bantu, contohnya syarikat yang hendak melantik anak muda atau ada keraguan, saya akan berikan keyakinan kepada mereka bahawa belia boleh dilantik berdasarkan merit.”

Syed Saddiq berkata, penyertaan belia di peringkat pembuat keputusan akan memastikan suara mereka didengari dan melonjakkan potensi mereka memberi idea unik untuk membangunkan organisasi.

“(Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia) Tan Sri Tony Fernandes telah memulakan dahulu dengan melantik Neelofa sebagai wakil belia dalam lembaga pengarah syarikat itu dan beliau (Tony) kata langkah itu sangat berjaya dan mungkin diperluaskan lagi.”

Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof berkata, kerajaan akan menjadi pemudah cara bagi meningkatkan penyertaan belia dalam pembangunan negara.

Tetapi, beliau berkata, kerajaan tidak boleh membuat dasar yang memaksa korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melantik belia sebagai ahli lembaga pengarah.

“Jadi, kita akan terus memberi sokongan kepada segala aktiviti melibatkan usahawan muda supaya mereka dapat menonjolkan diri.”