Lanun Nigeria culik 12 anak kapal kargo Switzerland

Penculik memusnahkan kebanyakan peralatan komunikasi kapal kargo tersebut.

ABUJA: Sekumpulan lanun menculik 12 anak kapal sebuah kapal kargo Switzerland di perairan Nigeria.

Syarikat perkapalan, Massoel Shipping, berkata kapalnya MV Glarus membawa muatan gandum dari Lagos ke Pelabuhan Harcourt ketika ia diserang pada Sabtu.

“Kumpulan lanun itu menaiki Glarus menggunakan tangga panjang dan memotong kawat berduri di geladak,” kata syarikat itu.

Penceroboh terbabit bertindak di kawasan perairan yang terletak 45 batu nautika dari Pulau Bonny di Delta Niger dan mengambil 12 daripada 19 anak kapal sebagai tebusan.

Seorang jurucakap syarikat perkapalan Massoel yang berpangkalan di Geneva itu berkata lanun terbabit “memusnahkan kebanyakan peralatan komunikasi kapal tersebut.”

Tujuh anak kapal berasal dari Filipina serta masing-masing seorang dari Slovenia, Ukraine, Romania, Croatia dan Bosnia, menurut agensi maritim Nigeria.

Jurucakap Massoel berkata anggota keluarga anak kapal terbabit dimaklumkan mengenai keadaan itu.

Pakar sedang dalam perjalanan bagi memastikan semua tebusan dibebaskan “dengan pantas dan selamat,” menurut syarikat perkapalan itu.

Kementerian Luar Switzerland berkata Massoel mengesahkan tiada warganegaranya diculik. Penculikan untuk tebusan adalah perkara biasa di Nigeria, dengan warga asing dan rakyat Nigeria berprofil tinggi sering menjadi sasaran.

Terdapat sedikit peningkatan dalam aktiviti menculik tebusan di pesisir Nigeria, menurut satu laporan pada 2017 oleh badan pemantau Oceans Beyond Piracy.