
PETALING JAYA: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meletakkan diri mereka dalam “zon selesa” dengan memilih tidak melunaskan hutang pengajian itu kerana memegang janji Pakatan Harapan (PH).
Beberapa peminjam PTPTN yang ditemubual FMT, memberitahu mereka tidak membayar hutang PTPTN kerana menuntut janji kerajaan PH sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu.

Peminjam PTPTN, Abdullah Mahyudin berkata, kerajaan PH sepatutnya menunaikan janji mereka kepada peminjam yang berpendapatan bawah RM4,000 selepas parti itu menjanjikan akan menangguhkan bayaran jika pendapatan mereka tidak mencecah angkat tersebut.
“Jika kerajaan tidak boleh menunaikan janji tersebut, berilah kelonggaran kepada peminjam kerana pendapatan minimum yang diterima adalah sedikit berbanding yang dijanjikan.
“Hutang wajib dibayar, tetapi kerajaan PH harus tahu kemenangan pada PRU14 adalah kerana meraih undi dari belia dengan janji pemimpin negara,” katanya.

Manakala, Siti Azira Mohd Fauzi berkata, kerajaan PH tidak mempunyai hak untuk menuntut hutang daripada peminjam yang berpendapatan bawah RM4,000.
“Sebaliknya, kerajaan perlu melakukan inisiatif lain untuk mengalakkan peminjam bayar balik pinjaman,” katanya.
Manifesto PH semasa kempen PRU14 berjanji akan menangguh pembayaran balik pinjaman PTPTN untuk graduan berpendapatan bawah RM4,000 sebulan.
Bagaimanapun Menteri Pendidikan Maszlee Malik baru-baru ini berkata peminjam perlu melunaskan hutang berkenaan, termasuk ia dituntut di dalam Islam.
“Apa pun manifesto kata, tetapi kalau sudah pinjam kenalah bayar hutang itu. Kalau sudah pinjam kenalah berusaha untuk membayar pinjaman itu,” katanya.

Sementara itu, Nurul Husna Mohamed Rosli berkata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad wajar berasa malu apabila ada belia yang tidak mempunyai kesedaran sivik dan moral dalam melunaskan hutang PTPTN.
“Pinjaman perlu dilunaskan apabila gaji sudah capai RM4,000, tetapi itu adalah satu kelonggaran kepada peminjam.
“Andai peminjam mampu untuk membayar pinjaman, sewajarnya mereka membayar hutang tersebut walaupun gaji tidak mencapai RM4,000.
“Semua peminjam perlu selesaikan hutang kerana masih ramai lagi belia yang akan membuat pinjaman PTPTN untuk menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi.”
Perdana menteri sebelum ini menegur peminjam PTPTN yang tidak bertanggungjawab dan tiada perasaan malu apabila tidak membayar hutang pengajian itu sehingga jumlahnya mencecah RM36 bilion.
“Kerajaan membelanjakan banyak wang dalam memberi pinjaman kepada pelajar dalam dan luar negara untuk memastikan kehidupan mereka lebih baik, malangnya mereka tidak mahu bayar balik pinjaman, hutang RM36 bilion kepada PTPTN,” katanya.