Tony Fernandes dilantik ketuai Perbadanan Stadium

Cabaran utama Tony Fernandes ialah memulihkan kewangan PSM yang mengalami kerugian RM11 juta serta menambah baik struktur dan operasinya. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melantik Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes sebagai pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang baru.

KBS dalam kenyataan hari ini berkata, pemilihan Tony dibuat berdasarkan pencapaian dan pengalamannya sebagai tokoh korporat disegani di Malaysia serta luar negara, dalam pelbagai bidang komersial, termasuk industri penerbangan, hiburan dan perhotelan.

Katanya, Tony juga bukan nama asing dalam bidang sukan dan mahir dalam selok-belok pembangunan serta promosi sukan bertaraf antarabangsa kerana beliau ialah pengasas Caterham F1 Team dan pernah menjadi pengerusi Queens Park Rangers yang beraksi dalam Liga Perdana Inggeris.

“Bakat keusahawanan, kreativiti dan kepimpinan beliau ternyata cukup terserlah dan ini dapat dilihat melalui anugerah-anugerah yang diraihnya, termasuklah ‘CEO of The Year Award’ dan ‘Entrepreneur of the Year Award’.”

KBS berkata, cabaran utama Tony ialah memulihkan keadaan kewangan semasa PSM yang mengalami kerugian RM11 juta serta melakukan penambahbaikan struktur dan operasi PSM.

“Pelantikan beliau diharapkan dapat memajukan serta merancakkan lagi aktiviti belia, sukan, rekreasi dan hiburan yang melibatkan pelbagai aset di bawah PSM secara meluas.

“Bukan sahaja dari segi penjanaan pulangan ekonomi yang baik kepada negara, malah dapat merealisasikan hasrat KBS membentuk budaya aktif dan sihat di kalangan rakyat Malaysia, khususnya belia.”

Bulan lalu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menamatkan perkhidmatan 9 ahli lembaga pengarah lantikan politik dalam beberapa agensi di bawah KBS, termasuk Perbadanan Golf Subang, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia, PSM dan Institut Sukan Negara.