Cenbet: Pinda Akta Prosiding Kerajaan halang kerajaan fail saman fitnah

Gan Ping Sieu berkata, membenarkan kerajaan menyaman atau mengugut untuk menyaman individu atau pertubuhan boleh membawa kepada pemerintahan kuku besi. (Gambar Facebook)

PETALING: Persatuan Center For A Better Tomorrow (Cenbet) menggesa Akta Prosiding Kerajaan 1956 (GPA) dipinda bagi menghalang kerajaan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu atau pertubuhan kerana memfitnah.

Senada dengan kritikan banyak pihak sebelum ini terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung isu itu, Cenbet berkata mahkamah telah membuat tafsiran GPA yang bertentangan dengan hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh perlembagaan persekutuan.

“Kerajaan mempunyai sumber tidak terhad untuk menyaman individu dan pertubuhan kerana memfitnah.

“Sangat luar biasa sekiranya institusi awam menggunakan hasil cukai untuk menyaman pembayar cukai pula,” kata presiden bersama Cenbet Gan Ping Sieu dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keputusan itu bertentangan dengan semangat prinsip Derbyshire, dan memberi amaran bahawa membenarkan kerajaan menyaman atau mengugut untuk menyaman individu atau pertubuhan boleh membawa kepada pemerintahan kuku besi.

Semalam Mahkamah Persekutuan yang diketuai Tan Sri Ahmad Maarop menolak rayuan Ahli Parlimen Stampin Chong Chien Jen, dan memutuskan kerajaan persekutuan dan negeri boleh menyaman individu kerana memfitnah.

Ahmad yang membacakan keputusan sebulat suara itu berkata, di Malaysia, hak kerajaan untuk memfailkan saman diperuntukkan di bawah Seksyen 3 GPA.

Beliau berkata, prinsip Common Law Inggeris berdasarkan kes Derbyshire 1994 tidak sesuai di Malaysia kerana terdapat sekatan ke atas hak kebebasan bersuara di bawah perlembagaan persekutuan.

Katanya, Parlimen mengenakan sekatan ke atas perbuatan memfitnah dan menghasut terhadap mana-mana kesalahan.