Media: Polis Slovakia tahan suspek bunuh wartawan

Pembunuhan Kuciak meningkatkan kebimbangan tentang kebebasan akhbar di negara bekas komunis itu dan mencetuskan bantahan besar-besaran. (Gambar AFP)

BRATISLAVA: Polis Slovakia menahan seorang atau lebih individu disyaki membunuh wartawan penyiasatan Jan Kuciak dan tunangnya, lapor beberapa media negara itu termasuk SME Daily dan laman web Aktuality.sk tempat Kuciak bekerja dengan memetik sumber polis.

Polis di laman Facebooknya berkata, ia menahan beberapa individu berhubung jenayah kejam itu dan melancarkan carian dari rumah ke rumah tanpa menyebut kes yang dimaksudkan.

Polis enggan memberi komentar lanjut.

Wartawan Jan Kuciak, yang pernah menulis tentang korupsi politik di Slovakia, ditemui ditembak bersama-sama tunang beliau Martina Kusnirova di rumah mereka di pinggir Bratislava pada Februari lepas. Mereka berumur 27 tahun.

Pembunuhan tersebut meningkatkan kebimbangan tentang kebebasan akhbar di negara bekas komunis Eropah Timur itu.

Ia mencetuskan bantahan besar-besaran yang memaksa peletakan jawatan perdana menteri Robert Fico; menteri dalam negeri Robert Kalinak dan ketua polis Tibor Gaspar.