
PETALING JAYA: Pemimpin MIC menyelar Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas pemimpin PKR itu merujuk parti komponen Barisan Nasional tersebut dalam kritikannya terhadap ahli yang membaling kerusi pada pemilihan parti di Pulau Pinang, baru-baru ini.
Bercakap kepada FMT, Datuk C Sivarraajh berkata Anwar cuba mengalihkan perhatian atas kegagalan PKR dengan kenyataannya mengenai MIC.
Anwar, ketika mengulas mengenai kejadian baling kerusi di Pulau Pinang dan kekecohan di Kedah Sabtu lalu mengatakan itu adalah PKR, bukannya MIC.
“Mereka fikir ini MIC… salah parti. MIC terkenal dengan membaling kerusi, memandangkan MIC tidak ada lagi sekarang, mereka menggantikan MIC baling kerusi,” katanya dipetik sebagai berkata kepada ahli PKR Sabah semasa majlis di Kota Kinabalu.
Ahli parlimen Cameron Highlands itu mempersoal mengapa Anwar cuba mengheret MIC ke dalam masalah dalaman partinya.
“Dia harus mengajar ahlinya bagaimana berkelakuan baik. Mereka yang baling kerusi tidak pernah menjadi ahli MIC,” kata bekas ketua Pemuda MIC itu.
Beliau juga berkata kenyataan Anwar adalah “tipikal” kepadanya.
“Apabila dia mahukan sokongan, dia akan menonjol seperti (pelakon) MG Ramachandran tetapi apabila ada masalah, dia akan mengelakkan diri dengan menyalahkan orang lain, dalam kes MIC, dia cuba membersihkan imejnya.”
Manakala, Ahli Parlimen Tapah M Saravanan berkata Anwar sepatutnya menyedari “baling kerusi” dalam MIC berakhir 30 tahun lalu, dan sudah tiba masanya untuk beliau berubah.
Beliau menambah Anwar tidak seharusnya menggunakan MIC sebagai “perisai” untuk mengelak kritikan.
“Hakikatnya, mereka yang baling kerusi itu adalah ahli PKR, ahli partinya sendiri, jadi tidak ada kena mengena dengan MIC.
“Ahli kamu baling kerusi, kamu memberitahu mereka untuk tidak baling kerusi. Tidak perlu mengata parti lain.”
Selasa lalu, Anwar mengumumkan ahli PKR yang membaling kerusi di Pulau Pinang dan yang lain yang terlibat dalam kekecohan di Kedah dibuang dari parti itu.