Najib: Tiga bulan sifar cukai punca kerajaan PH hilang RM40 bilion

Najib berkata dalam tempoh 9 tahun megetuai kerajaan di bawah BN, beliau tidak pernah meminta rakyat berkorban.

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membidas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dengan mengatakan dasar Pakatan Harapan (PH) memberi tempoh 3 bulan sifar cukai, tanpa cukai barangan dan perkhidamatan (GST) serta cukai Jualan dan perkhidmatan (SST), menyebabkan kerajaan kehilangan dana sebanyak RM40 bilion .

Beliau berkata tindakan PH mengembalikan subsidi pukal dan pembatalan projek secara meluas juga merupakan antara punca kerajaan kehilangan dana berbilion ringgit, bukannya memberi alasan hutang kerajaan mencecah RM 1 trilion.

“Ini telah mengakibatkan kerajaan kehilangan dana sekurang-kurangnya RM40 bilion setahun tidak termasuk wang input GST yang perlu dibayar balik kerana GST tiba-tiba disifarkan dan dimansuhkan.

“Pembatalan projek secara meluas juga akan merendahkan kadar pertumbuhan ekonomi. Jika ditambah dengan langkah kerajaan mengurangkan bantuan termasuk bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan menyebabkan aktiviti ekonomi dalam negara menjunam lebih banyak lagi sehingga Malaysia mungkin terjerumus ke dalam kemelesetan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Najib yang merujuk laporan berita portal media bahawa Lim mungkin akan menjadi menteri kewangan paling tidak popular dalam sejarah negara apabila apabila menjangkakan banyak bantuan untuk rakyat akan dipotong disebabkan hutang negara mencecah RM1 trilion.

Lim juga dilaporkan berkata pengobanan juga perlu dilakukan oleh rakyat untuk membantu mengurangkan hutang negara sebanyak RM1 trilion supaya Malaysia dapat kembali ke landasan dalam tempoh tiga tahun.

Najib berkata dalam tempoh 9 tahun memerintah kerajaan di bawah Barisan Nasional (BN), beliau tidak pernah meminta rakyat untuk berkorban.

Sebaliknya kata beliau ekonomi semakin bertumbuh dan bantuan kepada rakyat semakin bertambah.

“Tiba-tiba apabila kerajaan PH mengambil alih dan mengubah polisi ekonomi Malaysia secara dasar, mereka mahu rakyat bersedia untuk berkorban.

“Kerajaan PH perlu terima hakikat bahawa polisi dan langkahnya sendiri menukar hala tuju ekonomi kepada arah yang lebih teruk dan akhirnya mahu rakyat berkorban ekoran dasar teruk itu,” katanya.

Najib berkata dahulunya kerajaan mempunyai Program Transformasi Negara yang begitu teratur dan berkesan.

Namun, beliau berkata kini negara ada menteri kewangan yang takut popularitinya terancam dan kerajaan yang meminta rakyat untuk berkorban oleh kerana langkah regresifnya.

Najib juga berkata banyak pihak mempersoalkan tindakan PH yang menggunakan alasan hutang mencecah RM1 trilion itu sehingga ada ahli ekonomi termasuk Moody’s mempertikai kaedah kerajaan baru mengira hutang.

“Sebagai contoh, apabila Guan Eng menperincikan bagaimana hutang sudah menjadi RM1 trilion, dia telah memberitahu bahawa RM201.4 bilion dari RM1 trilion ini ialah kerana kerajaan perlu membayar kos sewa dan kos penyelenggaraan.

“Siapa antara saudara-saudari yang menyewa rumah ataupun pejabat pernah mengambil kira atau memasukkan kos sewa dan kos penyelenggaraan sebagai hutang peribadi?,” soal beliau.