Pembantu Kit Siang dakwa kerajaan tiada hak saman fitnah individu

Syahredzan Johan mengkritik keputusan mahkamah menolak rayuan ahli parlimen Stampin berhubung saman fitnah yang difailkan kerajaan negeri Sarawak.

PETALING JAYA: Setiausaha Politik Lim Kit Siang, Syahredzan Johan mempertikai keputusan Mahkamah Persekutuan yang membenarkan kerajaan membawa saman fitnah terhadap individu.

Menerusi kiriman Facebook, Syahredzan berkata prinsip undang-undang “Derbyshire” menekankan bahawa kerajaan termasuk agensi dan jabatan di bawahnya tiada hak membawa tindakan saman fitnah terhadap mana-mana individu yang mengeluarkan kritikan.

“Rasional di sebalik prinsip ini adalah kerajaan tidak patut menyekat atau menghalang kritikan terhadap mereka dengan membawa tindakan saman,” katanya.

Pegawai khas kepada ahli parlimen Iskandar Puteri itu berkata, tindakan Mahkamah Persekutuan secara tidak langsung membantutkan demokrasi dalam negara apabila individu disekat untuk mengkritik.

“Mana-mana kerajaan harus bersedia menerima kritikan, cemuhan atau kecaman daripada rakyat biasa, dan bukannya membungkam suara-suara yang menentang menggunakan undang-undang.”

Beliau merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen berhubung saman fitnah yang difailkan kerajaan negeri Sarawak.

Pada April 2013, kerajaan Sarawak dan pihak berkuasa kewangan negeri memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuching terhadap Chong kerana fitnah berhubung satu dakwaan yang disiarkan dalam akhbar harian berbahasa Cina, dan portal berita, serta dalam risalah yang diedarkan oleh Chong dan DAP.

Chong yang juga timbalan menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, merayu terhadap keputusan majoriti Mahkamah Rayuan yang memutuskan kerajaan Sarawak dan pihak berkuasa kewangan negeri tidak boleh menyaman seorang Adun kerana fitnah.

Syahredzan dalam pada itu membuat gesaan supaya kerajaan melihat dan mengkaji semula Akta Prosiding Kerajaan 1956 yang digunakan ketika ini.

“Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang bijaksana mencapai keputusan ini berdasarkan takrifan Seksyen 3 Akta Prosiding Kerajaan 1956.

“Saya berpendapat seksyen tersebut hanya undang-undang am yang memberikan status undang-undang untuk kerajaan menyaman dan disaman dan ia tidak menentukan sama ada kerajaan berhak membawa tindakan saman fitnah atau sebaliknya.

“Saya berpendapat Seksyen 3 Akta tersebut tidak menghalang prinsip ‘Derbyshire’ daripada diguna pakai di Malaysia,” katanya.