Setor talian jual topeng muka, tubuh silikon untuk ‘cosplay’

Kita lazim melihat dan ada kalanya menyertai acara ‘cosplay’ di mana kita perlu berpakaian seperti seseorang hero atau watak popular mahupun haiwan atau maskot, mengikut keperluan acara itu.

Banyak pekedai dan pengusaha yang menyewa atau menjual barangan ‘cosplay’ memandangkan perminataan terhadapnya semakin meningkat.

Antaranya ialah pakaian superhero, watak popular DC Comics atau Marvel, aksesori, rambut palsu, objek tambahan seperti pedang atau senjata lain, baju seragam sekolah, pakaian seragam lain dan sebagainya.

Di setor dalam talian di China lain pula ceritanya apabila mereka menjual sarung tubuh badan dan topeng muka yang kelihatan seakan benar, diperbuat menggunakan silikon.

Ia dijual dengan tujuan memudahkan peserta ‘cosplay’ yang mahu berpakaian seperti gender berbeza tanpa melibatkan banyak inisiatif, hanya sarungkan tubuh dan topeng silikon dan anda berubah jantina.

Setor Eyung Crossdressing menjual barangan tersebut menggunakan platform dalam talian, AliExpress dengan menawarkan sarung tubuh badan wanita silikon yang diperkenalkan dalam pelbagai saiz dan bentuk termasuk saiz payudara.

Bagi dipadankan dengan tubuh badan itu, pelanggan juga boleh memilih jenis wajah dan rambut yang sesuai.

Harga untuk setiap tubuh silikon serta topeng bergantung kepada saiz dan bentuk bermula daripada RM405 (AS$98) untuk topeng muka dan RM2700 ($650) untuk sut tubuh.

Ia masih dilihat sebagai satu alternatif yang murah dan mudah memandangkan seseorang itu tidak perlu menjalani sesi yang sukar mengubah wajah dan tubuh untuk cosplay sementara waktu.

Menurut Sora24News, Eyung juga menjual topeng muka lelaki yang turut mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan wanita dan lelaki.