Siti Kasim dapat pakej khas, Anwar boleh bertanding

PETALING JAYA: Peguam Siti Kasim malam tadi mengumumkan calon Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh bertanding pilihan raya kecil Port Dickson 13 Oktober ini, selepas menerima satu pakej khas.

“Saya terbaca pesanan daripada anak perempuan saya mengatakan ada satu pakej daripada Jabatan Peguam Negara tiba.

“Anwar boleh bertanding PRK Port Dickson,” katanya di Twitter.

Siti sebelum ini menulis kepada Peguam Negara Tommy Thomas meminta penjelasan sama ada pembebasan Anwar pada Mei lepas kerana hukuman penjara 5 tahunnya dikurangkan atau kerana diampunkan Agong atas saranan Lembaga Pengampunan.

Beliau antara pengkritik keputusan Anwar bertanding di Parlimen Port Dickson, yang dikosongkan oleh penyandang Datuk Danyal Balagopal Abdullah 4 bulan selepas memenanginya.

Di Facebook, Siti berkongsi lampiran surat daripada Tommy Thomas, merujuk kepada surat bertarikh 19 September.

“Lembaga Pengampunan menasihatkan pengampunan penuh dipertimbangkan untuk Anwar. Agong memberikan pengampunan penuh kepada Anwar.

“Demikian itu, oleh sebab Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, kelayakan Anwar untuk bertanding sebagai calon pada pilihan raya kecil kawasan Port Dickson akan datang tidak terbatal,” kata surat itu.

Hari penamaan pilihan raya kecil Parlimen Port Dickson, yang digunakan oleh Anwar untuk kembali ke Parlimen, ditetapkan pada Sabtu.

Siti sebelum ini berkata dia tidak dapat mengesan kandungan penuh dokumen yang ditandatangani Agong yang membolehkan Anwar dibebaskan pada 16 Mei, seminggu selepas pilihan raya umum.

Beliau berkata tiada masalah jika benar Agong mengampunkan Anwar kerana itu adalah kuasanya.

Anwar dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun pada 2015 selepas dituduh meliwat pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Pakatan Harapan berjanji melantiknya menjadi perdana menteri, dan berkempen untuk mendapatkan pengampunan diraja agar dia boleh kembali berpolitik.