Uzbekistan bincang eksport uranium ke India

Uzbekistan mengeksport uranium sejak ia mencapai kemerdekaan susulan kejatuhan Kesatuan Soviet pada 1991.

NEW DELHI: Uzbekistan sedang berunding dengan India untuk menjual uranium dan perkara itu akan dibincang ketika Presiden Shavkat Mirziyoyev melawat New Delhi minggu depan, kata seorang pegawai kanan Uzbekistan.

Uzbekistan adalah pengeksport utama uranium manakala pergantungan India ke atas import barangan itu dijangka meningkat dengan ketara pada tahun-tahun akan datang kerana ia membina lebih banyak loji nuklear baru.

“Kami sedang berunding dengan India. Kami akan membincangkan perkara ini (ketika lawatan Presiden Mirziyoyev),” kata Timbalan Menteri Perdagangan Luar Uzbekistan, Sokhib Saifnazarov, kepada pemberita di New Delhi semalam.

Uzbekistan mengeksport uranium sejak ia mencapai kemerdekaan susulan kejatuhan Kesatuan Soviet pada 1991.

India dan Uzbekistan dijangka menandatangani kira-kira 30 dokumen dan perjanjian semasa lawatan 2 hari presiden Uzbekistan itu, yang bermula minggu depan.

Duta Uzbekistan, Farhod Arziev, pula berkata perdagangan, pelaburan, pelancongan, teknologi dan pendidikan adalah antara sektor utama di mana kedua-dua negara berminat untuk memperluas hubungan mereka.

Perdagangan 2 hala berjumlah AS$323.6 juta pada 2017, dengan eksport India ke Uzbekistan bernilai AS$291 juta.