Air Selangor meterai perjanjian beli SPLASH RM2.55 bilion

Pengambilalihan SPLASH oleh Air Selangor adalah sebahagian usaha kerajaan negeri dan Persekutuan menstruktur semula industri air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

KUALA LUMPUR: Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd (SPLASH Holdings) hari ini memeterai perjanjian bersyarat untuk menjual konsesi rawatan air Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) kepada kerajaan Selangor pada harga RM2.55 bilion.

SPLASH Holdings dimiliki oleh Gamuda Bhd (40%), Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (KPS) (30%) dan Sweet Water SPV Sdn Bhd (30%), yang merupakan syarikat tujuan khas milik ahli perniagaan Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah.

Gamuda dan KPS dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, berkata SPLASH Holdings akan melepaskan pegangan ekuiti 100% dalam SPLASH termasuk semua saham pinjaman tidak bercagar boleh tebus dalam syarikat konsesi itu kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), yang dimiliki oleh syarikat pelaburan kerajaan negeri Selangor iaitu Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB).

Air Selangor akan membayar pendahuluan berjumlah RM1.9 bilion dan bakinya secara ansuran selama 9 tahun.

Pelupusan itu dijangka selesai pada hujung tahun, tertakluk kepada pematuhan syarat terdahulu.

KPS, yang secara majoriti dimiliki oleh KDEB, akan menerima RM765 juta hasil kasar daripada kepentingannya dalam SPLASH Holdings, kata syarikat itu dalam satu kenyataan akhbar.

“Kumpulan itu dianggarkan untuk mengiktiraf kira-kira RM331.6 juta kerugian sekali sahaja dalam pelupusan itu, yang dijangka mempunyai kesan ketara kepada keuntungan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2018,” katanya lagi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KPS Ahmad Fariz Hassan, dengan berakhirnya penglibatan kumpulan itu dalam SPLASH, ia sekarang ini boleh menumpukan usaha bagi mengembangkan perniagaan terasnya untuk menjadi peneraju industri tenaga dan menjana pulangan berterusan kepada para pemegang saham.

“Kumpulan akan menggunakan pendekatan yang berhati-hati dalam memaksimumkan hasil bagi mengimbangi keperluan semasa dan pertumbuhan masa depan,” katanya.

Sementara itu, Gamuda berkata cadangan pelupusan itu akan membolehkan ia mengewangkan pelaburannya dalam SPLASH dan memberi tumpuan kepada perniagaan terasnya.

Pengambilalihan SPLASH oleh Air Selangor adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri dan Persekutuan dalam menyatu serta menstruktur semula industri air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Ini dibuat bagi meningkatkan margin simpanan air dan mengurangkan pendapatan bukan air, serta bertujuan mencapai objektif bekalan air tanpa gangguan di Lembah Klang dan seluruh negara.