Bekas calon BN mohon maaf pada Anwar, kes saman selesai

Mazlan Ismail (kanan) bersama peguamnya, Hasnal Rezua Merican tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR: Bekas calon Barisan Nasional (BN) di Permatang Pauh pada pilihan raya umum 2013, Datuk Mazlan Ismail memohon maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memfitnah presiden PKR itu merasuah hakim dan pendakwa raya.

Mazlan membuat permohonan maaf itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan mengakui membuat dakwaan itu tanpa usul periksa dalam sidang media pada 2 Ogos 2013.

“Saya merujuk surat yang saya terima menyatakan Anwar membayar RM50 juta kepada firma guaman mendian Karpal Singh untuk merasuh hakim dan pendakwa raya.

“Saya sedar kenyataan saya telah disiarkan TV3 dan Utusan Melayu pada 2 dan 3 Ogos 2013.

“Saya rasa dukacita dan kesal atas tindakan melulu dan tanpa sedar telah menjejaskan reputasi plaintif melalui laporan tersebut,” katanya dalam kandang saksi di depan Pesuruhjaya Kehakiman, Datin Faizah Jamaludin.

Mazlan kemudian berjabat tangan dengan Anwar yang berbalas senyuman dengannya sebelum meninggalkan mahkamah hari ini.

Anwar memfailkan saman itu pada 15 Oktober 2015 kerana Mazlan yang tewas kepadanya pada PRU13, mendakwa beliau menerima surat mengatakan Anwar membayar Karpal lebih RM50 juta sejak 2008 sebagai yuran guaman dan merasuah hakim serta pendakwa raya.

Karpal yang mengetuai pasukan peguam Anwar dalam kes liwat 2, meninggal dunia dalam kemalangan pada 17 April 2014.

Anwar dilaporkan berkata dakwaan itu mencemarkan imejnya sebagai ketua pembangkang dan ahli Parlimen Permatang Pauh yang membawa maksud beliau tiada integriti, bermoral rendah dan tidak sesuai memegang jawatan awam kerana merasuah.

Anwar memohon ganti rugi am, teruk dan injunksi menghalang defendan terus memfitnahnya.

Sementara itu, Faizah menetapkan 12 Oktober ini untuk mengemas kini syarat penyelesaian terhadap Utusan Melayu dan TV3.