Kalau kita tak angkat KL siapa lagi, Maszlee jawab Faisal Tehrani

Dari kiri: Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom, Menteri Pendidikan Maszlee Malik dan Menteri Wilayah Khalid Samad pada sidang media hari ini.

PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan Maszlee Malik mempertahankan pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai kota buku dunia kerana ia mempunyai arena buku yang aktif.

Beliau berkata Kuala Lumpur menjadi tuan rumah pelbagai institusi perbukuan, Muzium Bahasa dan Sastera yang dirancang untuk pembinaan pada 2019, Perbadanan Kota Buku yang menjadi platform penggerak industri, dan karyawan-karyawan muda.

Kotaraya itu juga menganjurkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) setiap tahun sejak 1981, dan pelbagai penganugerahan seperti Anugerah Sasterawan Negara, Anugerah Sastera Perdana dan Hadiah Utusan.

“Ini menjadi asas pencalonan Kuala Lumpur sebagai Kota Buku Dunia 2020,” katanya kepada pemberita pada sidang media penjelasan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Dunia 2020 di Kementerian Pendidikan hari ini.

“Kalau tidak kita angkat siapa lagi yang nak angkat,” tambahnya.

Maszlee berkata pelbagai usaha sedang dijalankan bagi menjayakan pengiktirafan itu antaranya meluaskan kempen Malaysia Membaca, yang sekarang digerakkan di media sosial.

Menteri menjelaskan kempen jangka masa panjang mengalakkan tabiat membaca di mana sahaja akan diperluaskan dengan kerjasama institusi pengajian tinggi, sekolah, agensi kerajaan dan media arus perdana.

“Kita akan lakukan setiap masa dan setiap detik menjelang 2020 dan kementerian pendidikan akan bekerjasama dengan kementerian lain antaranya Kementerian Wilayah, Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Belia & Sukan,” katanya.

Beliau menambah kementerian juga akan mengadakan aktiviti membaca untuk golongan terpinggir, termasuk gelandangan, pelarian, pekerja asing, banduan, peserta program pemulihan akhlak, anak-anak yatim, orang-orang kurang upaya dan Orang Asli.

Apa rekod KL?

Pada 21 September lalu, penulis terkenal Faisal Tehrani berkata rekod prestasi Kuala Lumpur tidak memuaskan berbanding kota-kota buku lain, berdasarkan kepada kekuatan pasaran buku, mutu pusat penerbitan buku, mentaliti pemerintah dan penerbit, dan promosi budaya dan sastera di pihak kerajaan.

“Kalau sekadar infrastruktur, kempen dalam kereta api dan MRT, hiaskan perpustakaan, digitalkan buku…saya rasa itu hanyalah permukaan. Kita hanya ada 1 tahun untuk mengubah mentaliti ini,” kata Faisal.

Beliau seterusnya memberikan contoh 3 bandar yang terkenal sebagai kota buku yang hebat dan tertanya apakah “track rekod” Kuala Lumpur berbanding kota-kota itu.

“Beirut dalam dunia Arab memang diketahui pusat penerbitan buku yang bermutu. Begitu juga New Delhi, para pengarang tidak perlu meraih atau mengemis simpati pasaran antarabangsa. Incheon juga sangat agresif menjual budaya dan sasteranya.”

Faisal mengingatkan sasterawan negara A Samad Said merajuk bukunya tidak dicetak semula kerana budaya pilih kasih, begitu juga pengarang muda yang berputus asa dengan penerbit sedia ada.

“Mereka memilih penerbit yang lebih bebas dan mempersetankan penerbit yang mempunyai hubungan dengan kerajaan,” katanya.

Unesco menamakan Kuala Lumpur sebagai kota buku dunia bagi 2020 pada 20 September lalu, kerana fokus kepada pendidikan terangkum, pembangunan masyarakat berasaskan pengetahuan dan pembacaan yang boleh diakses oleh semua peringkat penduduk.

Kuala Lumpur adalah bandar raya ke-20 memenangi gelaran itu sejak 2001. Tahun sambutan akan bermula pada 23 April 2020, pada Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia.