Kerajaan perpaduan? Terus bermimpi, wakil rakyat PH beritahu Zahid

PETALING JAYA: Dua ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) menolak kemungkinan Umno menubuhkan kerajaan perpaduan dengan mana-mana parti komponen PH yang disifatkan mereka “cadangan teruk”.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi boleh terus “berharap” untuk menubuhkan kerajaan perpaduan, tetapi ia tidak mungkin berlaku kerana rakyat akan membantahnya.

“Dalam pilihan raya 9 Mei, rakyat mengundi manifesto yang berikrar menubuhkan sebuah kerajaan berlainan dan penolakan terhadap Umno.

“Rakyat tidak boleh menerima bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Umno,” kata wakil rakyat DAP itu mengulas kenyataan Zahid yang dilaporkan New Straits Times.

Disebabkan Umno sudah lama berkuasa, katanya, menjadi kebiasaan untuk parti itu berharap dapat kembali menjadi kerajaan.

Tetapi, beliau menggesa pucuk pimpinan PH menjelaskan kepada rakyat tiada ruang untuk Umno dalam gabungan itu.

“PH dan parti komponennya tidak patut memandang rendah azam dan harapan rakyat. Kita tidak patut mengambil mudah atau terperangkap dalam permainan Umno.

Beliau yang tidak menolak kemungkinan ahli Umno mungkin menyertai PH berkata, gabungan itu perlu berhati-hati untuk mengelakkan ia menjadi “Barisan Nasional 2.0”.

Sementara itu, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata ia adalah cadangan teruk untuk parti komponen PH membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno dan ada perbezaan antara bekerjasama dengan parti itu di Parlimen dan sebagai sebuah kerajaan.

“Jika ada undang-undang baik yang memerlukan sokongan mereka di Parlimen, ia adalah okey untuk bekerjasama dengan mereka, tetapi bukannya sebagai sebuah kerajaan perpaduan.”

Wakil rakyat PKR itu turut menepis khabar angin PKR akan bekerjasama dengan Umno kerana pemimpin parti pembangkang itu tidak pernah menyuarakan hasrat mengenainya.

“Soalan itu lebih baik ditujukan kepada PPBM kerana ahli Umno meninggalkan parti itu untuk menyertai PPBM.”

Khabar angin mengatakan ada kemungkinan PKR bergabung dengan Umno disebabkan hubungan rapat Zahid dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pada 1990-an, Zahid ialah timbalan Anwar dalam Pemuda Umno.

Bagaimanapun, dalam wawancara berasingan, Zahid yang merupakan bekas timbalan perdana menteri berkata, beliau menemui Tun Dr Mahathir Mohamad 2 kali selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu, tetapi langsung tiada pertemuan dengan Anwar.

Kenyataan Zahid itu susulan pendedahan Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa ada perbincangan antara parti itu dan PPBM.

Penganalisis politik, Kamarul Zaman Yusoff turut menolak kemungkinan pembentukan kerajaan perpaduan dengan parti komponen PH kerana ia akan ditentang parti lain.

Katanya, Umno akan mempunyai pengaruh lebih jika ia membentuk kerajaan perpaduan dengan parti komponen PH.

Beliau dalam catatan di Facebooknya semalam berkata, ada kemungkinan ahli Parlimen Umno diserap secara beramai-ramai oleh sebuah parti komponen PH.

“Nasihat saya kepada Umno adalah: Terima sahajalah realiti pahit bahawa Umno sudah kalah, usahakanlah untuk Umno menjadi parti politik pembangkang yang baik dan binalah kembali sisa-sisa kekuatan Umno bersama parti-parti politik pembangkang yang lain.

“Tunggu sahajalah tibanya PRU15 untuk cuba merebut kembali kuasa yang hilang itu dan usahlah terus lena dibuai khayalan untuk kembali menjadi sebahagian daripada kerajaan melalui jalan belakang kerana khayalan begini hanya akan meranapkan wibawa Umno.”