Kes minum air ketum meningkat di Putrajaya

Daun ketum diperoleh ketika balik kampung dan diproses di Putrajaya untuk kegunaan sendiri atau diagih kepada rakan-rakan. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Kes penyalahgunaan air ketum di pusat pentadbiran kerajaan kini menunjukkan peningkatan termasuk yang membabitkan penjawat awam.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hassan berkata rekod Ibu Pejabat Daerah Putrajaya menunjukkan sebanyak 58 tangkapan dalam tempoh 9 bulan pertama tahun ini berbanding 30 tangkapan bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Bagi tempoh yang sama, beliau berkata polis juga melakukan 29 rampasan pada tahun ini berbanding 16 rampasan pada tahun lepas.

“Siasatan awal polis mendapati mereka mendapatkan daun ketum ketika balik kampung dan diproses di sini untuk kegunaan sendiri atau diagih kepada rakan-rakan, bukan untuk dijual secara besar-besaran.

“Polis Putrajaya akan meningkatkan pemantauan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Hari Bertemu Pelanggan anjuran IPD Putrajaya, hari ini.

Beliau menambah rampasan terbaharu adalah pada 2 minggu lepas di mana polis merampas 23 botol (1.5 liter) air ketum siap diproses di sebuah premis di Presint 18.

Rosly berkata rampasan dan tangkapan dibuat di kawasan perumahan dan juga kaunter agensi kerajaan di Presint 1, Presint 9, Presint 11 dan Presint 18 dan suspek berusia antara 20 hingga 40 tahun.