Limau nipis: Penawar kencing manis atau mitos?

Pada zaman sekarang, memang sukar bagi kita untuk menjaga pemakanan terutama sekali apabila kita sentiasa dikelilingi dengan makanan dan minuman yang seringkali menguji keimanan kita.

Pergi sahaja ke kedai mamak, sudah tentu kita akan tergoda untuk meminum secawan teh tarik yang penuh berkrim dan amat manis. Memang syurga di dunia!

Disebabkan makanan (dan minuman) di negara kita yang penuh nikmat, tidak mustahil jika bilangan penghidap kencing manis di Malaysia merupakan antara yang tertinggi di dunia.

Memang tidak boleh dinafikan makanan dan minuman memang kaya dengan gula. Bagaimanapun, kita juga perlu berwaspada terhadap pengambilan gula kerana kadar gula yang tinggi berpotensi untuk membawa padah kepada kesihatan kita dalam jangka masa yang panjang.

Orang dewasa yang mengambil gula berlebihan di dalam diet seharian akan mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap penyakit kencing manis jenis 2.

Mengikut kajian yang dilakukan oleh Institut Diabetes Kebangsaan (NADI), Malaysia mempunyai kadar penghidap kencing manis tertinggi di Asia dengan kira-kira 3.6 juta orang dewasa berusia 18 tahun ke atas menghidapi penyakit diabetes.

Lebih mengejutkan lagi apabila Nadi merekodkan separuh daripada rakyat Malaysia tidak sedar yang mereka menghidapi penyakit kencing manis. Ini kerana kencing manis merupakan pembunuh senyap dimana penghidap tidak akan menyedari simptom kencing manis sehingga pada satu tahap, penghidap akan mengalami darah tinggi, strok dan lain-lain.

Petua penawar kencing manis

Oleh sebab kadar penghidap kencing manis yang semakin meruncingkan di Malaysia, memang tidak mustahil jika segelintir rakyat-rakyat Malaysia mudah terpedaya dengan petua-petua yang diuar-uarkan di internet.

Antara petua-petua yang diamalkan oleh penghidap kencing manis ialah petua limau nipis yang menular di laman sosial kerana didakwa sebagai satu penawar kencing manis.

Petua limau nipis ini merupakan anekdot dari seorang pesara imigresen yang mendakwa air rebusan limau nipis ialah penawar penyakit kencing manis beliau dan juga rakan-rakan beliau.

Sama ada penyakit kencing manis jenis 1 atau 2 tidak dapat dipastikan, tetapi beliau mendakwa meminum air rebusan limau nipis bersama garam kasar menghilangkan gangrene di kakinya.

Merujuk kepada blog-blog yang menyebarkan petua ini, cara-cara menyediakan air limau nipis ini ialah dengan merebuskan limau nipis yang disumbat dengan garam kasar. Seterusnya, 5 nipis dihancurkan dan dilenyekkan bersama biji-biji di dalamnya.

Mengikut arahan diberi, biji-biji limau nipis perlu dihancurkan untuk petua ini menjadi berkesan. Memandangkan petua ini disebarkan dengan meluas, kami tertanya-tanya akan keberkesanannya. Secara saintifiknya, petua ini memang tidak logik sekali.

Kesan sampingan limau nipis

Menurut Dr. Suhazeli Abdullah, petua ini hanyalah mitos kerana buat masa sekarang ini, tiada lagi terdapat ubat yang penawar kencing manis. Bukan sahaja petua limau nipis ini tidak berkesan dan tidak mempunyai bukti dari segi saintifik, malah petua ini juga mempunyai kesan sampingan.

Penghidap kencing manis yang mengamalkan petua ini akan berisiko untuk mengalami diabetic ketoacidosis (DKA) dan juga hiperglisemia di mana si penghidap diabetes mempunyai tahap gula yang tinggi di dalam badan.

Apabila kekurangan gula di dalam badan, pesakit berisiko untuk pengsan dan secara tidak langsung, melalui komatos. Walaupun terdapat banyak petua di luar sana yang berkesan tetapi hanyalah berkesan dalam mengurangkan simptom dan bukannya merawat.

Memang agak mustahil untuk merawat penyakit dengan mengamalkan petua di rumah terutama sekali penyakit kencing manis. Fakta inilah yang gagal disedari oleh segelintir rakyat Malaysia yang mudah mempercayai dengan petua-petua viral di internet.

Kesahihan petua di internet

Oleh kerana petua limau nipis ini terbukti mempunyai kelembahan kerana setiap badan orang berlainan dan akan mempunyai tindak balas yang berbeza. Terdapat petua-petua yang berkesan dalam mengurangkan simptom tetapi untuk merawat sepenuhnya? Mustahil sekali.

Tidak boleh dinafikan kita sebagai pesakit akan mencari ikthiar lain tetapi kita juga harus menjadi pengguna yang bijak dengan membuat kajian terlebih dahulu. Setiap petua yang ingin dicuba perlulah di dirunding bersama doktor.

Kesan pengiklanan

Begitu juga dengan ubat, jangan sesekali mudah mempercayai ubat yang dijual tanpa mempunyai kelulusan dari kementerian kesihatan. Secara logik, ubat-ubatan yang berkesan dan sudah menerima kelulusan jarang sekali akan dijual secara online. Sebaliknya, anda hanyalah perlu merujuk kepada doktor anda mengenai penyakit anda.

Tahukah anda, pengiklanan produk makanan atau minuman yang mendakwa boleh menyembuhkan atau mampu merawat sebarang penyakit adalah tidak dibenarkan.

Jika didapati bersalah, pembuat menyalahi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985. Antara penyakit kronik yang tidak dibenar diiklankan ialah penyakit kencing manis.

Oleh itu, jika anda mendapati terdapat beberapa produk ubat yang mendakwa ialah penawar kencing manis, ketahuilah produk itu tidak mempunyai kelulusan dari kementerian dan berkemungkinan akan membawa padah kepada badan kita.

Alternatif Petua Viral

Sememangnya Malaysia merupakan syurga makanan. Kita sudahpun dikenali sedemikian di pelusuk antarabangsa tetapi adakah kita juga mahu dikenali sebagai negara yang kaya dengan penghidap kencing manis? Bukankah status kesihatan rakyat akan melambangkan keprihatinan rakyat dan kerajaan terhadap kesihatan mereka?

Bukan itu sahaja, makanan kita juga akan mendapat nama yang buruk kerana mempunyai kandungan gula yang tinggi walhal makanan Malaysia ada sahaja yang berkhasiat?

Memang tidak salah untuk menikmati minuman mahupun makanan yang mengandungi kandungan gula yang berlebihan dari jumlah yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan. Namun begitu, rakyat Malaysia perlu mengamalkan kesederhanaan dengan hanya menikmati makanan atau minuman manis sekali-sekala.

Daripada mengamalkan petua-petua viral, sebaliknya kita patutlah mengamalkan gaya hidup yang sihat. Bukan itu sahaja, rakyat juga haruslah menjadi prihatin terhadap kesihatan mereka sendiri dengan kerap menjalani pemeriksaan kesihatan. Sesungguhnya, mencegah itu lebih baik daripada mengubat.

Artikel ini diterbitkan dalam http://www.butterkicap.com