Mahkamah kekal kemenangan Umno di 3 DUN

Zulkarnine Hashim (kiri) bersama peguam Amir Khusyairi (2 dari kiri) selepas mahkamah menolak petisyen mencabar keputusan SPR.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membatalkan petisyen calon Pakatan Harapan terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya di 3 DUN di Perak, mengekalkan kemenangan Umno di Hutan Melintang, Lubok Merbau dan Changkat Jong.

Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata petisyen oleh calon-calon PH itu gagal menjelaskan secara terperinci setiap dakwaan terhadap SPR dan calon-calon Barisan Nasional yang boleh menjejaskan keputusan di 3 DUN tersebut.

Petisyen terhadap keputusan pilihan raya umum 9 Mei lepas bagi Lubok Merbau dan Changkat Jong difailkan oleh Faizul Ismail dan Zulkarnine Hashim dari PPBM, sementara petisyen bagi Hutan Melintang pula difailkan oleh G Manivannan dari PKR.

“Alhamdulillah, kemenangan saya sah dan kekal. Terima kasih kepada peguam sehingga membawa keputusan ini,” kata Adun Jurij Jamaluddin.

Selepas kekalahan anak guamnya, peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi mewakili 2 calon PPBM itu menyeru kerajaan menyemak dan mengemaskini kaedah pilihan raya kerana akta-kata berkaitan kali terakhir digubal pada 1954.

“Isu seperti notis perlu diambil di jabatan pendaftaran sedangkan sudah ada e-failing dan berbagai lagi. Terdapat langkah-langkah yang perlu diambil untuk menyuburkan kembali akta berhubung pilihan raya,” katanya.

Pakatan Harapan turut memfailkan petisyen bagi Parlimen Tasek Gelugor, Jempol, Tapah dan Bagan Serai.