P Pinang hidupkan pelan tebus guna tanah pantai Butterworth

Farizan (2 dari kiri) bersama Ronnie (2 dari kanan), Ketua Menteri Chow Kon Yeow (tengah), Exco Soon Lip Chee (kanan) dan Pegawai Kewangan Kerajaan Negeri Sarul Bahiyah Abu (kiri).

GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang hari ini menghidupkan rancangan menebus guna tanah Pantai Bersih yang tertangguh selama hampir 20 tahun, menerusi satu perjanjian terkini dengan sebuah syarikat, yang berkata ia akan menelan belanja hampir RM2 bilion untuk menambak pantai itu dalam tempoh 6 tahun.

Rayston Consortium (Butterworth) Sdn Bhd (RCSB) diberi hak untuk menebus guna 650ha tanah di pantai di Butterworth yang menghadap George Town pada 1999 tetapi rancangan itu tidak diteruskan kerana “ketidakpastian”.

Bawah perjanjian terkini itu, RCSB dan kerajaan Pulau Pinang akan mengemukakan satu rancangan induk tebus guna tanah di mana mereka akan tentukan pembangunan di tanah baharu itu.

Pantai dari Jalan Tunku Putra di Telok Ayer Tawar di utara hingga ke Terminal Kontena Utara Butterworth (NBCT) akan ditebus guna.

Kerajaan guna mengesahkan pintu keluar projek terowong dasar laut juga akan dibina di kawasan baharu itu. Kajian keboleksanaan terowong itu masih sedang berjalan.

Jika projek tebus guna tanah itu diluluskan oleh pengawal selia alam sekitar, tanah baharu itu akan menyempitkan Selat Utara dan mendekatkan jarak antara George Town dan Butterworth.

Pada 1999, RCSB diberi hak menebus guna tanah di kawasan itu sebagai sebahagian usaha memindah 1,000 setinggan di sepanjang Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth. Lebuhraya sepanjang 14km itu dibina oleh kerajaan persekutuan antara 2003 dan 2006.

RCSB juga sebahagian daripada konsortium yang membina BORR, bersama Etika Gemilang (Butterworth) Sdn Bhd.

Dalam perjanjian tambahan yang ditandatangani RCSB dan Pulau Pinang hari ini, syarikat itu akan menyerahkan lebih banyak bahagian kawasan yang ditebus guna itu kepada kerajaan negeri.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata dengan perjanjian terkini itu, kerajaan negeri akan menerima 90.31ha tanah berbanding 12.9ha dalam perjanjian asal.

“Mengikut perjanjian yang ditandatangani pada 16 Jun 1999, RCSB diberi hak untuk menebus guna 650ha tanah, iaitu 254ha untuk Pelabuhan Pulau Pinang, 2.5ha untuk kerajaan negeri bagi membina perumahan kos rendah dan sederhana rendah, dan 7.4ha bagi 2 bidang tanah yang diserahkan kerajaan negeri di Jalan Pantai Bersih dan Jalan Bagan Jermal untuk memindahkan penduduk.

“RCSB juga perlu menyerahkan 5% daripada kawasan boleh jual bersih bersamaan 12.9ha tanah kepada kerajaan negeri. Selepas rundingan itu, RCSB bersetuju untuk menaikkannya kepada 35%, bermakna kerajaan negeri akan menerima tambahan sebanyak 77.41ha tanah,” katanya.

Perjanjian itu juga termasuk menyerahkan tanah selepas 6 tahun dari permulaan kerja, memindahkan hak menebus guna tanah berdekatan pelabuhan kepada pihak ketiga, dan menyerahkan pelan tebus guna tanah komprehensif kepada pihak berkuasa.

Perjanjian ditandatangani antara Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Farizan Darus dan Pengarah RCSB Ronnie Lim.

Farizan dalam penjelasannya berkata RCSB diberi tempoh 6 bulan untuk memohon kebenaran merancang daripada pihak berkuasa tempatan dan menyerahkan dokumen-dokumen penilaian kesan alam sekitar yang berkaitan kepada Jabatan Alam Sekitar.